Oleh Noorazura Abdul Rahman


Baling: Lima warga tempatan dan 35 warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik Januari lalu.

Tertuduh warga tempatan Ho Chung Meng, 54, dan Poh Chu Yuan, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa secara berasingan ke atas mereka di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi tiga lagi warga tempatan iaitu Wong Siew Lin, 58; Tai Chan Weng, 56; dan Wong Hing Nam, 59, selepas mereka tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.

Tiada pengakuan direkodkan membabitkan 31 lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga China dan dua lelaki warga Nepal berusia antara 18 hingga 50 tahun berikutan mereka tidak memahami bahasa Melayu.

Mengikut kertas pertuduhan itu, mereka dituduh memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartment 12 Hutan Simpan Bukit Enggang tanpa memiliki permit memasuki hutan simpanan kekal antara jam 9 malam, 31 Januari lalu, hingga jam 3 pagi, 1 Februari lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Wan Hazlin Suraya Wan Sharif, Noor Husnita Mohd Radzi dan Naliatul Huzaimi Ab Rasip, manakala lima tertuduh warga tempatan dan dua warga China diwakili peguam, Lee Keng Fatt.

Mahkamah kemudian membenarkan lima tertuduh warga tempatan diikat jamin masing-masing RM5,000 serta seorang penjamin, manakala dua tertuduh warga China pula dibenarkan ikat jamin masing-masing RM7,000 serta dua penjamin tempatan selain perlu menyerahkan pasport mereka.

Seramai 31 tertuduh warga Myanmar dan dua tertuduh warga Nepal pula tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana sedang menjalani hukuman penjara di bawah Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Hakim kemudian menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes dan proses melantik jurubahasa bagi tertuduh yang tidak memahami bahasa Melayu.

Februari lalu, media melaporkan seramai 52 lelaki ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) selepas disyaki terbabit melakukan aktiviti penerokaan unsur nadir bumi (REE) secara haram di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Dalam operasi itu JPNK turut menyita pelbagai peralatan dan jentera yang digunakan kumpulan terbabit dipercayai bagi melakukan kerja menggali serta mengekstrak bahan REE terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 2:45 PM
Antara 40 individu termasuk 35 warga asing yang yang didakwa di Mahkamah Sesyen Baling hari ini kerana melakukan pencerobohan haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik Januari lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Antara 40 individu termasuk 35 warga asing yang yang didakwa di Mahkamah Sesyen Baling hari ini kerana melakukan pencerobohan haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik Januari lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman