GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zaid Salim


Hulu Terengganu: Polis menahan dua lelaki Myanmar bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu di Ajil, Khamis lalu.

Suspek berusia 20-an dan 30-an bekerja sebagai buruh di tapak projek pembinaan di Kampung Merbau Pulas, Ajil, ditahan antara jam 10 hingga 11 malam, hari sama.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, mangsa berusia 23 tahun itu disyaki dirogol dua suspek dalam rumah kongsi di tapak projek berkenaan yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa mendakwa berada di ruang dapur rumahnya jam 7.30 malam.

"Ketika berada di dapur, suspek yang berada di tapak projek berkenaan memperdaya mangsa sebelum mengheret dan merogolnya dalam rumah kongsi," katanya hari ini.

Mohd Adli berkata, selepas setengah jam, mangsa pulang ke rumah dalam keadaan menangis teresak-esak menyebabkan keluarganya mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku.

Beliau berkata, sebaik mengetahui mangsa diperkosa, keluarga membawa wanita OKU berkenaan ke Balai Polis Ajil untuk membuat laporan.

Mohd Adli berkata, dua suspek terbabit ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Kesiksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 12:50 PM