KA Siong pada sidang media lepas Program Santai Bersama Pemandu Grab. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
KA Siong pada sidang media lepas Program Santai Bersama Pemandu Grab. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Ada warga asing di Sabah didakwa boleh mendaftar dengan mudah sebagai pemandu e-hailing.

Susulan itu, Kementerian Pengangkutan akan menyiasat dakwaan pendaftaran menjadi pemandu e-hailing menggunakan identiti palsu boleh dibuat hanya dalam dua minit.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia dibuat melalui aplikasi tertentu dengan hanya dua minit dan perkara itu memberikan kesan besar kepada pemandu sah.

"Pemandu e-hailing di sini menghadapi salah satu masalah yang besar iaitu mereka berdepan dengan persaingan.

"Hal ini berlaku apabila ada pihak boleh mendaftar e-hailing menggunakan aplikasi tertentu dengan mudah dan boleh menggunakan identiti tidak sahih.

"Ada dakwaan juga mengatakan warga asing boleh mendaftar menjadi pemandu. Justeru pihak saya akan meminta pihak berkaitan menjalankan pemeriksaan lanjut," katanya dalam sidang media selepas Program Santai Bersama Pemandu Grab di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut memandang serius dakwaan pendaftaran menjadi pemandu e-hailing boleh dibuat tanpa Lesen Vokasional (PSV).

"Saya memandang serius perkara ini kerana soal keselamatan pengguna atau penumpang patut kita utamakan.

"Saya rasa tidak harus wujudnya satu padang yang tidak sama rata ataupun platform berbeza, yang mana mereka boleh menggunakan orang yang tidak memiliki PSV.

"PSV adalah satu syarat untuk mana-mana pemandu e-hailing. Ada lesen PSV, baru boleh memandu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 11:24 AM