Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 150 pemandu e-hailing di Lembah Klang kecewa apabila tidak dapat menyertai kursus sistem pendaftaran permohonan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang bermula hari ini.

Mereka yang hadir sejak 8.30 pagi ke institut memandu di Jalan Utara di Petaling Jaya, itu tidak dapat menyertai kursus berkenaan kerana rata-rata mereka keliru dan tidak mengetahui syarat pendaftaran lesen terbabit.

Tinjauan Harian Metro mendapati ramai pemandu e-hailing yang belum memahami prosedur permohonan kerana tidak mempunyai garis panduan yang jelas.

Mereka tidak mengetahui kelayakan permohonan lesen PSV, antara lain mensyaratkan mereka lulus pemeriksaan perubatan sebelum menghadiri kelas teori dan latihan amali, selain melengkapkan dokumen yang diperlukan.

Presiden Pemandu Grab Malaysia (GDMA) Arif Asraf Ali berkata, pihaknya sedia maklum berhubung notis yang dikeluarkan oleh kerajaan berhubung penguatkuasaan lesen berkenaan kepada pemandu e-hailing.

Bagaimanapun, katanya, tiada garis panduan yang jelas bagaimana memohon lesen berkenaan menyebabkan ramai yang keliru.

“Kami bernasib baik hari ini diberikan taklimat oleh pemilik Institut memandu berhubung cara untuk mendapatkan lesen berkenaan,” katanya ketika ditemui.

Arif Asraf berkata, proses memohon lesen berkenaan juga memakan masa lama untuk mendapatkannya.

“Kami beranggapan hari ini berdaftar, hari ini dapat menyertai kursus berkenaan namun sebaliknya berlaku apabila kami perlu menyediakan laporan perubatan terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Safety Driving Centre, C T Kumar berkata, pihaknya menerima sambutan yang baik dari pemandu e-hailling yang ingin memohon lesen PSV.

“Bagaimanapun ramai pemandu yang tidak faham proses. Pertama mereka perlu melakukan pemeriksaan perubatan kemudian mendaftar dan seterusnya menyertai kursus selama enam jam.

“Selepas menyertai kursus, pada hari berikutnya mereka perlu menjalani ujian yang dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Menurutnya, Institut Memandu dimilikinya itu turut menawarkan diskaun kepada pemandu e-hailling yang ingin membuat lesen PSV.

“Pemandu yang ingin membuat lesen perlu membayar RM159 sahaja.

“Pihak kami perlu membuat permohonan kepada JPJ terlebih dahulu sebelum ujian untuk lesen berkenaan dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 3:39 PM
KUMAR memberi penerangan kepada pemandu e-hailing mengenai pendaftaran PSV. FOTO Aizuddin Saad
KUMAR memberi penerangan kepada pemandu e-hailing mengenai pendaftaran PSV. FOTO Aizuddin Saad