FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SYARIKAT sewaan kenderaan bagi perkhidmatan e-hailing digesa memberikan moratorium kepada pemandu yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Presiden Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA), Daryl Chong berkata, tindakan itu dilihat lebih adil kepada pemandu kerana syarikat sewaan menerima moratorium daripada bank selama enam bulan.

Katanya, namun syarikat sewaan kenderaan tetap mengenakan sewa kepada pemandu e-hailing sedangkan golongan berkenaan terjejas teruk ketika PKP kerana ketiadaan penumpang.

Beliau berkata, adalah tidak adil jika pemandu e-hailing terus dihimpit untuk membayar sewa secara minggu sehingga RM450 tanpa sebarang pengecualian bayaran.

"Kami terima aduan pemandu yang menggunakan kereta disewa daripada syarikat sewaan masih perlu membayar sewa seperti biasa sedangkan penumpang kurang mendadak.

"Syarikat sewaan pula menerima moratorium dari bank namun tetap mengenakan sewa seperti biasa dan ini ternyata membebankan pemandu," katanya ketika dihubungi di Harian Metro.

Daryl berkata, jumlah penumpang turun sehingga 50 peratus daripada kebiasaan dan ini secara tidak langsung menjejaskan pendapatan pemandu.

Menurutnya, keadaan ini bagaimanapun semakin pulih apabila kerajaan membuka semula sektor ekonomi dan orang ramai mula bekerja.

"Saya berharap beban pemandu e-hailing ini dikurangkan dengan inisiatif yang lebih menyeluruh daripada kerajaan.

"Bantuan Prihatin Nasional (BPN) secara 'one-off' sebanyak RM500 diharap dapat diberikan kepada semua pemandu e-hailing yang mempunyai lesen kenderaan awam (PSV).

"Kami gesa kerajaan pertimbangkan semula bantuan kerana pemandu e-hailing mematuhi segala peraturan ditetapkan dengan pelbagai kos sebelum dibenarkan memandu e-hailing namun bantuan tidak diberikan secara menyeluruh kepada komuniti ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 1:43 PM