Bhon Heng (tiga dari kiri) dan Aishah ditemui selamat di Pantai Pasir Panjang, Thailand. FOTO IHSAN APMM
Bhon Heng (tiga dari kiri) dan Aishah ditemui selamat di Pantai Pasir Panjang, Thailand. FOTO IHSAN APMM
Hamzah Osman


Langkawi: Lelaki dan wanita yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing di perairan Teluk Yu di sini, pada Sabtu lalu ditemui selamat di Pantai Pasir Panjang, Thailand, malam tadi.

Mangsa, Bhon Heng Sang, 32, dan Nor Aishah Musa, 31, ditemui selamat oleh nelayan Thailand pada 9.30 malam sebelum dibawa pulang dan tiba di Jeti Tanjung Rhu di sini, 12.10 tengah hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah/Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan hanyut ke perairan Thailand selepas bot yang mereka naiki kehabisan minyak dan mengalami kerosakan enjin.

"Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) menerima laporan berkaitan kehilangan bot dan pasangan berkenaan daripada abang wanita terbabit.

"Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan sejam kemudian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zawawi berkata, pihaknya menghantar bot peronda Petir dan Kapal KM Siangin bagi melaksanakan usaha pencarian, selain dibantu aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

"Operasi SAR membabitkan sektor pencarian seluas 47.2 batu nautika persegi.

"Pada 9.30 malam tadi, kita menerima laporan daripada pihak polis mengenai penemuan dua mangsa di Thailand," katanya.

Menurutnya, penghantaran pulang kedua-dua mangsa dibantu nelayan Thailand dan diserahkan kepada pasukan keselamatan berhampiran Tanjung Kemarong di sini.

"Kita menyeru seluruh komuniti maritim supaya sentiasa berwaspada dan menitik berat soal keselamatan ketika berada di laut termasuk memastikan peralatan keselamatan sentiasa mencukupi dan dalam keadaan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 5:58 PM