PANORAMA menarik Tasik Biru di Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin. FOTO Asrol Awang
PANORAMA menarik Tasik Biru di Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang menasihati pengunjung ke Tasik Biru di Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin mengutamakan kebersihan sepanjang berada di kawasan tasik berkenaan.

Pengarah SWCorp negeri, Sharudin Hamid berkata, sikap itu penting kerana berdasarkan tinjauannya semalam, kawasan Tasik Biru dicemari sampah dibuang segelintir individu tidak bertanggungjawab.

"Pengunjung ke Tasik Biru untuk melihat panorama menakjubkan di situ dinasihatkan tidak membuang sampah di situ, sebaliknya membawa pulang sampah masing-masing untuk memastikan kawasan tasik itu bersih dan tidak lagi tercemar.

"Ini kerana Tasik Biru kini semakin dikenali selepas tular dengan keindahan airnya yang berwarna biru," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Sharudin mengadakan lawatan ke Tasik Biru kerana kawasan itu dipilih untuk Program Hari Bersih Sedunia peringkat Muadzam Shah pada 19 September ini.

Kewujudan Tasik Biru dipercayai berpunca daripada tindak balas kimia daripada bijih besi menyebabkan tasik itu kelihatan sangat biru dan jernih.

Tasik itu adalah bekas lombong bijih besi diusahakan pada 1950-an dan dipercayai airnya tidak selamat digunakan untuk sebarang aktiviti termasuk tiada hidupan akuatik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 5:00 PM