Masjid Al-Hamideen.
Masjid Al-Hamideen.
Nazri Abu Bakar


KIRA-KIRA 450 penduduk Kampung Bukit Cina, Melaka bersedia menggunakan perigi Masjid Al-Hamideen di kampung terbabit jika krisis bekalan air berlarutan.

Sidang kampung berkenaan, Al Hafiz Delip berkata, perigi yang terletak di dalam kawasan masjid itu masih baik dan jernih.

Katanya, sebelum ini perigi terbabit berada di luar kawasan masjid, namun selepas kerja ubahsuai dilakukan, ia kini berada di dalam masjid.

“Keadaan itu membolehkan kawalan baik dan selamat, malah airnya terpelihara daripada dimasuki sampah, habuk dan daun kering.

“Namun penduduk atau orang luar boleh mengambilnya pada bila-bila masa diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan keselamatan penduduk terutama kanak-kanak, perigi berkenaan ditutup dengan besi.

Masjid dibina pada 1865 hasil kutipan derma penduduk dan masyarakat setempat itu memiliki ciri binaan unik.

Bangunan campuran batu dan kayu itu diubahsuai untuk penambahan ruang pada 1978, sekali gus memberi keselesaan solat berjemaah dan aktiviti agama.

Ianya diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 (pindaan 1993) yang kekal sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 10:12 PM