Dua lelaki ditahan ketika membuang kulit durian di kawasan kebun kelapa sawit di Sungai Ruan, Raub. FOTO Ihsan SWCorp
Dua lelaki ditahan ketika membuang kulit durian di kawasan kebun kelapa sawit di Sungai Ruan, Raub. FOTO Ihsan SWCorp
Asrol Awang


Kuantan: Dua lelaki yang sedang leka membuang kulit durian di kawasan kebun kelapa sawit ditahan penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Raub berhampiran Taman Mawar, Sungai Ruan di Raub, semalam.

Suspek masing-masing berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan ketika operasi penguatkuasaan sampah haram kulit durian dilakukan selepas SWCorp menerima maklumat orang awam yang disalurkan kepada Majlis Daerah Raub pada 3 petang.

Pengarah SWCorp Pahang Sharudin Hamid berkata, berdasarkan maklumat dan risikan, sepasukan penguat kuasa SWCorp berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama dua suspek terbabit.

Katanya, ketika ditahan, dua lelaki terbabit memberi kerjasama dan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Kesalahan yang dilakukan ialah melonggok dan melupuskan kulit durian di tempat yang tidak dibenarkan di kawasan persendirian.

"Dalam kes ini, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pengarah SWCorp Pahang Sharudin Hamid.
Pengarah SWCorp Pahang Sharudin Hamid.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dianggarkan 500 kilogram kulit durian dibuang di kawasan kebun terbabit.

Katanya, dengan tindakan yang dikenakan terhadap suspek terbabit diharap memberi pengajaran kepada individu lain untuk tidak melakukan perbuatan sama.

"Bagi memastikan perbuatan terbabit dapat dihentikan, kerjasama orang ramai diharap membantu melaporkan kepada SWCorp untuk tindakan.

"Kita tidak mahu kawasan kebun atau persendirian dijadikan tempat pembuangan kulit durian hingga mengundang pencemaran terutama bau busuk," katanya.

Untuk rekod, Pada 15 Julai lalu, seorang lelaki ditahan ketika membuang kira-kira satu tan kulit durian di kawasan perkuburan Sempam di Cheroh, Raub.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 12:21 PM