SAMPAH berselerak menjejaskan imej pantai Sepat. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
SAMPAH berselerak menjejaskan imej pantai Sepat. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Shahrinnahar Latib


SIKAP sesetengah pengunjung membuang dan meninggalkan sampah selepas melakukan aktiviti riadah di pantai Sepat, Kuantan menjejaskan imej pusat peranginan itu.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid, meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab.

“Kami sudah melaksanakan pelbagai kempen dan aktiviti di kawasan tarikan pelancong itu untuk menyedarkan orang ramai supaya tidak membuang sampah di kawasan pantai.

“Ini termasuk Program Gotong-Royong Bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) pada Mac lalu yang berjaya mengutip sebanyak 3.1 tan sampah di pesisir pantai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, demikian ketika mengulas mengenai laporan Harian Metro pada 2 Mac lalu mengenai keadaan Pantai Sepat yang dicemari sampah sarap sehingga dikatakan ‘lubuk’ kepada pembuangan sampah.

Masalah semakin serius apabila sisa makanan, lampin pakai buang, botol plastik dan kaca, puntung rokok, tisu serta kertas boleh dilihat sepanjang kira-kira dua kilometer di Pantai Sepat.

Tinjauan Harian Metro mendapati meskipun tong sampah disediakan dalam jumlah mencukupi masih ada yang tidak menggunakan kemudahan itu.

Sharudin berkata, kawasan perkhidmatan di bawah pihak SWCorp Pahang yang dilakukan oleh konsesi Alam Flora Sdn Bhd (ALAM FLORA) adalah sejauh dua kilometer bermula dari masjid hingga ke tapak parkir yang ketiga.

“Kawasan aduan adalah di luar sempadan kawasan perkhidmatan pihak SWCorp. Namun SWCorp Cawangan Kuantan sudah mengarahkan pihak konsesi untuk melakukan pembersihan di kawasan aduan berkenaan secara bantuan program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 11:41 AM