GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Tindakan dua lelaki warga asing cuba memberi suapan kepada anggota peronda polis (MPV) ketika diperiksa membawa padah apabila mereka ditahan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kedua-dua suspek berusia 29 dan 46 tahun itu ditahan jam 10.50 pagi, 30 Ogos lalu.

"Dalam kejadian itu, tiga anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Teknologi 3/1 Kota Damansara melihat kereta dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Pemandu terbabit memecut laju kenderaan sebelum polis berjaya menahannya. Pemeriksaan mendapati kedua-duanya gagal mengemukakan lesen memandu dan dokumen perjalanan sah.

"Seorang suspek kemudian menawarkan wang tunai RM500 dan jika tidak cukup mendakwa boleh menambahnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menahan empat lelaki termasuk seorang remaja yang disyaki terbabit kes samun bersenjata terhadap seorang jurujual.

Menurutnya, pada mulanya polis menerima laporan kejadian daripada mangsa berusia 38 tahun yang mendakwa disamun di parkir di Jalan PJU5/22 The Strand, Kota Damansara pada 12.05 tengah malam, 30 Ogos lalu.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis berjaya menahan empat suspek berusia 15 hingga 34 tahun dan merampas pelbagai barangan dipercayai hasil samun.

"Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan dadah, samun, pecah rumah dan curi kenderaan," katanya.

Katanya, tiga suspek direman tujuh hari manakala seorang lagi suspek direman lima hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 7:27 PM