POLIS menumpaskan kegiatan loteri haram dan judi dalam talian. FOTO Ihsan PDRM
POLIS menumpaskan kegiatan loteri haram dan judi dalam talian. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kegiatan penjualan loteri haram dan perjudian dalam talian dengan meraih pendapatan lumayan sehari tumpas dengan penahanan dua lelaki dan seorang wanita dalam beberapa serbuan di daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan seorang wanita warga asing berusia 40 tahun di sebuah gerai di tepi jalan Teknologi 3/1 Kota Damansara, di sini, 6.15 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui telefon bimbit dipegang suspek dan menemui mesej WhatsApp ke mengandungi angka nombor disyaki loteri haram.

"Dia kemudian mengaku membelinya daripada lelaki warga asing yang berada di sekitar Uptown Damansara.

"Berpandu suspek wanita terbabit, polis menahan lelaki warga asing terbabit berusia 27 tahun yang mengaku bekerja dengan lelaki tempatan menjual loteri haram dan kesemua pelanggan adalah warga asing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, seterusnya pada 8.15 malam, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Cecawi 6/9 Seksyen 6 Kota Damansara dan menahan lelaki berusia 55 tahun yang mengupah lelaki warga asing untuk urusan penjualan loteri haram.

"Pemeriksaan di dalam rumah menemui pelbagai barangan kegiatan loteri haram termasuk wang tunai.

"Siasatan awal sindiket ini menjalankan kegiatan penjualan loteri haram dan tamba nilai judi dalam talian dengan sindiket perjudian di Kepong," katanya.

Beliau berkata, mereka mampu mengaut keuntungan sekitar RM400 hingga RM600 sehari bagi loteri haram dan RM900 ke RM1,500 bagi judi dalam talian.

"Suspek warga asing direman 14 hari manakala seorang lagi suspek direman sehari dan kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 6:49 PM