GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


BEKAS anggota polis yang menjadi dalang utama geng pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Petaling Jaya, tumpas apabila polis menahan suspek bersama dua ahli kumpulannya.

Kegiatan lelaki berusia 39 tahun itu yang diberhentikan kerja sejak lima tahun lalu itu terbongkar hasil siasatan susulan laporan dibuat mangsa pada 3 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, laporan dibuat mangsa berusia 63 tahun pada 3 Ogos lalu mendakwa rumahnya di Saujana Damansara di Petaling Jaya dipecah masuk dan pelbagai barangan berharga termasuk motosikal jenis Yamaha Y15Z hilang dilarikan suspek.

Bertindak atas laporan itu, katanya, sepasukan polis yang menjalankan siasatan menyerbu sebuah unit apartment di Damansara Damai sebelum menahan dua lelaki berusia 25 dan 30 tahun, jam 10.20 malam pada 5 Ogos lalu.

"Hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi suspek iaitu bekas anggota polis di sebuah apartment di Damansara Damai, pada jam 5 pagi keesokannya.

"Pemeriksaan lanjut di rumah suspek, polis merampas pelbagai barangan antaranya jam tangan, telefon bimbit, kasut, beg dan dokumen peribadi milik individu lain.

"Semua suspek mengaku melakukan tujuh kes pecah rumah di sekitar Petaling Jaya dan Lembah Klang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Nik Ezanee berkata, polis menahan dua lelaki berusia 50 dan 58 tahun yang disyaki terbabit kes pecah kereta di sebuah stesen minyak di Persiaran Surian di Petaling Jaya, jam 9.50 malam, 7 Ogos lalu.

"Kedua-dua suspek ditahan di dua lokasi berasingan di Dataran Sunway dan Puchong Perdana serta merampas pelbagai peralatan pecah kereta. Mereka mengaku melakukan beberapa kes pecah kereta di sekitar daerah ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 4:29 PM