ANTARA barang rampasan yang diperoleh polis. FOTO Ihsan Polis
ANTARA barang rampasan yang diperoleh polis. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Sekumpulan penjenayah yang dipercayai terbabit beberapa kes samun dalam rumah di daerah ini, tumpas selepas penahanan enam suspek termasuk seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, semua suspek berusia 20 hingga 47 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan pada 12 September dan 5 Oktober lalu.

Katanya, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas melakukan siasatan susulan laporan kejadian samun di sebuah rumah di Damansara Jaya, pada 9 September.

"Mangsa lelaki berusia 60 tahun mendakwa rumahnya dimasuki dua lelaki dipercayai tempatan bersenjatakan sabit. Suspek melarikan pelbagai barangan berharga membabitkan kerugian RM8,000.

"Bertindak atas laporan itu, pasukan yang menjalankan siasatan dan risikan menyerbu sebuah rumah di Kuala Lumpur pada 8.10 malam, 12 September.

"Dalam serbuan itu, polis menahan pasangan warga asing dan seorang lelaki tempatan selain merampas 12 telefon bimbit, empat kad ATM, empat kamera digital, pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk memecah masuk rumah serta sebuah motosikal Yamaha LC," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek itu membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Petaling Jaya pada 3.30 petang, Isnin lalu.

Menurutnya, polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 34 hingga 47 tahun dipercayai rakan sejenayah serta merampas sebuah komputer riba.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 6:01 PM