GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengamuk dan mengancam nyawa adik perempuannya berusia 19 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Seksyen 19 di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian disedari sepasukan polis yang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

"Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, suspek dikatakan mengamuk dan mengancam nyawa adik perempuannya dengan menggunakan parang.

"Suspek juga memecahkan harta benda di kawasan rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah dan Seksyen 427 kanun sama iaitu khianat harta benda.

Dalam kes berasingan, Nik Ezanee berkata, polis turut menahan seorang lelaki yang terbabit kejadian pergaduhan dengan bapanya di sebuah rumah di Kota Damansara, di sini, semalam.

Menurutnya, polis yang menerima laporan kejadian jam 11.35 malam itu segera ke lokasi dan melihat suspek dalam keadaan mabuk cuba menyerang bapanya dengan pisau.

"Anggota (polis) kemudian menahan suspek dan merampas senjata yang digunakan itu. Berdasarkan siasatan awal, suspek sering bertengkar dengan ahli keluarga dan menggunakan perkataan kesat apabila mabuk," katanya.

Katanya, suspek kini direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 8:08 PM