Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TINDAKAN seorang mekanik motosikal menanam pokok ganja di belakang rumahnya di Masjid Tinggi, Bagan Serai, mengundang padah apabila diberkas polis pada 17 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, polis menyerbu pondok kosong di tepi jalan utama di Masjid Tinggi pada 8 malam dan menahan dua lelaki yang sedang khayal dadah.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis menemukan satu paket lutsinar dadah dipercayai methamphetamine seberat 0.55 gram, peralatan menghisap dadah dan dua helai daun ganja di dalam buku kecil di lantai pondok itu.

"Susulan penahanan itu, polis menahan seorang lagi lelaki iaitu abang kepada salah seorang suspek di bengkel motosikal di Taman Serai Wangi.

"Polis kemudiannya dibawa ke sebuah rumah beralamat di Jalan Taiping, Batu 10 dan pemeriksaan di belakang rumah menemui pokok dipercayai ganja ditanam di dalam tong putih.

"Suspek mengakui menanam pokok itu kira-kira tiga bulan lalu dan mempelajari cara menanam di Youtube," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek berumur antara 20 hingga 30 kini akan dituduh di Mahkamah di Taiping, hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 6 dan Seksyen 6B ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 2:53 PM
OMAR Bakhtiar menunjukkan pokok ganja yang dirampas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
OMAR Bakhtiar menunjukkan pokok ganja yang dirampas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi