Zuliaty Zulkiffli


TINDAKAN berani seorang lelaki menanam pokok ganja di hadapan rumahnya di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, mengundang padah apabila dia ditahan polis hari ini.

Dalam serbuan 10.30 pagi itu, lelaki berusia 30-an yang terkenal dengan panggilan 'Mat Tarzan' itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Alor Setar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, lelaki itu ditahan di halaman rumahnya hasil maklumat dan risikan anggotanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui empat pokok ganja yang ditanam di hadapan rumah berkenaan.

"Kesemua pokok ganja itu dirampas untuk siasatan lanjut.

"Hasil soal siasat juga mendapati suspek mengaku menggunakan pokok ganja itu untuk kegunaan sendiri," katanya ketika ditemui di IPD Kota Setar, Alor Setar, hari ini.

INSPEKTOR R Prabakaran menunjukkan pokok ganja yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
INSPEKTOR R Prabakaran menunjukkan pokok ganja yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Mohd Redzuan berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod kes lampau.

Katanya, ujian saringan awal air kencing juga mendapati dia positif ganja.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menanam pokok ganja dan Seksyen 15(1)ADB 1952.

"Bagaimanapun kita sedang menyiasat lebih lanjut berhubung rampasan dan tangkapan ini," katanya.

Katanya, suspek dan pokok ganja itu dibawa ke IPD Kota Setar untuk siasatan lanjut.

SUSPEK berusia 30-an ditahan polis kerana menanam pokok ganja. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SUSPEK berusia 30-an ditahan polis kerana menanam pokok ganja. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 9:37 PM