MAT Tarzan yang menanam pokok ganja di halaman rumahnya direman tujuh hari untuk membantu siasatan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
MAT Tarzan yang menanam pokok ganja di halaman rumahnya direman tujuh hari untuk membantu siasatan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI yang ditahan polis kerana menanam pokok ganja di hadapan rumahnya di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, semalam, direman tujuh hari untuk membantu siasatan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Nor Fadzilah Wan Ibrahim, bermula hari ini sehingga 17 Jun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, suspek kini direman di lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Harian Metro semalam melaporkan, suspek berusia 38 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Setar selepas menerima maklumat suspek menanam pokok ganja di halaman rumahnya.

Hasil siasatan mendapati, suspek mengaku menanam pokok ganja itu untuk kegunaan sendiri.

Pemeriksaan lanjut di sekitar rumah polis menemui empat pokok ganja dan dibawa balik ke IPD Kota Setar untuk siasatan lanjut.

Suspek dikenali "Mat Tarzan" itu turut mempunyai satu rekod kes lampau sebelum ini dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif ganja.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952.

Berita berkaitan

''Mat Tarzan' ditahan tanam pokok ganja depan rumah [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 4:52 PM