Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan para hadirin pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana di sini. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan para hadirin pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana di sini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan kini memasuki fasa kedua dalam usaha memperluas instrumen kewangan Islam, termasuk perbankan dan kewangan agar sejajar dengan objektif lebih tinggi dalam Maqasid al-Syariah.

Bercakap pada sesi syarahan Madani di Kompleks Seri Perdana di sini, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menekankan kepentingan dan keperluan model-model ekonomi untuk menangani prinsip keadilan, belas kasihan serta penyertaan.

Beliau berkata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berserta dengan pihak Perbendaharaan, menggalas tanggungjawab bagi memperkenalkan instrumen yang relevan bagi pelaksanaan fasa berkenaan.

"Kita sedang beralih kepada fasa kedua sekarang bagi mengembangkan dan meneliti instrumen Islam, termasuk perbankan dan kewangan untuk menangani objektif Syariah yang lebih tinggi. Kita perlu membabitkan (prinsip) keadilan, belas kasihan dan penyertaan," kata Anwar.

Semalam, Abdul Rasheed berkata BNM bercadang untuk menerapkan Maqasid al-Syariah dalam pembaharuan ekonomi dan pembaharuan struktur serta memajukan inovasi dalam perdagangan dan wakaf sebagai pemangkin untuk memperkasakan model sosioekonomi yang inklusif dan berdaya tahan.

Bank pusat itu juga menyarankan untuk mengukuhkan lagi integrasi global bagi mendorong pembangunan ekonomi dan kemakmuran yang dikongsi bersama dalam kalangan negara Islam, termasuk melalui peningkatan perdagangan antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Dalam pada itu, Anwar mengulangi komitmen untuk memperluas konsep ekonomi membabitkan Maqasid al-Syariah yang menumpukan keadilan, kesaksamaan dan penyertaan selain menangani cabaran seperti transformasi digital, peralihan tenaga dan keterjaminan makanan.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut memuji usaha Abdul Rasheed dan pasukannya untuk menyepadukan Maqasid al-Syariah dalam kerangka ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 12:04 AM