MOHD Zani (kanan) menunjukkan pokok ganja yang dirampas daripada suspek pada sidang media di IPD Petaling Jaya, hari ini.
MOHD Zani (kanan) menunjukkan pokok ganja yang dirampas daripada suspek pada sidang media di IPD Petaling Jaya, hari ini.
Mohd Azam Shah

TINDAKAN seorang penggangur menanam 11 pokok ganja di dapur rumahnya sejak enam bulan lalu mengundang padah apabila dicekup polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek berusia 28 tahun dan tinggal bersendirian ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang membuat serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Kelana Jaya pada 7.30 malam.

Katanya, dalam serbuan hasil maklumat awam itu, polis pada mulanya menemui satu peket lutsinar seberat 14 gram dipercayai mengandungi ganja kering di dalam beg sandang dipakai lelaki berkenaan.

“Polis kemudian menjalankan pemeriksaan di dalam rumah suspek dan menemui enam pasu mengandungi 11 pokok ganja di bahagian dapur.

“Semua pokok ganja itu dianggarkan berusia antara satu bulan hingga enam bulan dan sudah sedia untuk dipetik bagi dikeringkan,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, hari ini.

Mohd Zani berkata, suspek dipercayai menanam pokok ganja berkenaan menerusi benih diperoleh dalam peket ganja kering dimilikinya.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas mata wang asing membabitkan 2,500 dolar Amerika Syarikat (AS) dan 7.7 juta Rupiah selain sebuah kereta Toyota GT86 serta sebuah motosikal Ducati Scrambler.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM200,000.

“Buat masa ini polis masih menyiasat sama ada pokok ganja ditanam itu bagi kegunaan sendiri atau untuk diedarkan kepada penagih dadah di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang didapati positif mengambil dadah jenis ganja kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin ini mengikut Seksyen16 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 8:13 PM