AHMAD Faizman gagal hadir perbicaraan sebanyak lima kali sejak tahun lalu. FOTO Ihsan PDRM
AHMAD Faizman gagal hadir perbicaraan sebanyak lima kali sejak tahun lalu. FOTO Ihsan PDRM
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Polis giat mengesan seorang lelaki yang juga saksi utama kes perbicaraan di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk hadir memberi keterangan di Mahkamah Taiping pada 31 Oktober ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Hudri Mohd Arshad, berkata saksi berkenaan Ahmad Faizman Ahmad Fauzi, 26 yang beralamat di Jalan Taiping, Batu 10, di sini masih gagal dikesan dan usaha menjejakinya juga masih giat dijalankan pihak polis termasuk hebahan di laman sosial.

Menurutnya polis juga melakukan pemeriksaan di rumahnya namun pihak keluarga juga tidak mengetahui di mana dia berada.

"Dia (Ahmad Faizman) adalah saksi utama kes perbicaraan di bawah Seksyen 6B ADB 1952 bersangkut repot Bagan Serai/2987/20 membabitkan kes ganja.

"Sehingga kini saksi ini gagal hadir perbicaraan sebanyak lima kali sejak tahun lalu. Polis meminta kerjasama saksi untuk hadir ke Mahkamah Taiping pada 31 Oktober ini dan orang awam yang mempunyai maklumat atau mengetahui di mana saksi ini berada supaya dapat menghubungi pihak polis di talian 05-721 5222 atau terus menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurul Shafinaz Halim di talian 013-492 7682," katanya dalam kenyataan media.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 3:22 PM