Teik Keng tidak mengaku  bersalah di Mahkamah Majistert Kuantan hari ini atas tuduhan menipu skim pelaburan tidak wujud membabitkan nilai RM148,000 pada 2014. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Teik Keng tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistert Kuantan hari ini atas tuduhan menipu skim pelaburan tidak wujud membabitkan nilai RM148,000 pada 2014. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat

PENGARAH syarikat pelaburan pertanian mengaku tidak bersalah terhadap tiga dakwaan menipu skim pelaburan membabitkan nilai sebanyak RM148,000 di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Goh Teik Keng, 44, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Teik Keng bersama yang masih bebas didakwa menipu dengan menawarkan skim pelaburan Century Dynasty yang tidak wujud hingga mendorong mangsanya berusia 51 tahun memasukkan wang sebanyak RM50,000 ke dalam akaun milik Century Dynasty Resource Sdn Bhd.

Perbuatan itu dilakukan oleh Teik Keng di sebuah bank di Kuantan antara 9 pagi hingga 5 petang, 26 Jun 2014.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu dan mendorong mangsa berusia 36 tahun supaya menyerahkan wang sebanyak RM50,000 untuk skim pelaburan yang sama di sebuah bank di Jalan Beserah antara 9 pagi hingga 5 petang, pada 9 Jun 2014.

Untuk pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sama hingga mendorong mangsa berusia 37 tahun memasukkan wang sebanyak RM48,000 ke akaun miliknya di Lorong Kubang Buaya antara 26 Jun hingga 30 Jun 2015.

Tertuduh didakwa dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan atau boleh dikenakan denda, jika didapati bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ker Qi En, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 2 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 4:09 PM