Tertuduh, Mohd Sufian Talib, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Tertuduh, Mohd Sufian Talib, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas kerani sebuah bank mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menipu pelanggan dan memalsukan dokumen berkaitan pembelian Sijil Simpanan Premium (SSP) membabitkan kerugian RM1.435 juta.

Tertuduh, Mohd Sufian Talib, 36, berdepan 55 pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 465 KK dan Seksyen 467 KK yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Dia yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan sama didakwa menipu empat mangsa berusia 30 hingga 40 tahun dengan setiap mangsa menanggung kerugian antara RM150,000 hingga RM785,000.

Tertuduh yang sudah berkahwin didakwa menipu keempat-empat mangsa untuk mempercayai bahawa bank berkenaan ada menawarkan pelaburan pembelian SSP sebanyak RM50,000 dan akan mendapat insentif sebanyak RM3,000 selepas tempoh 65 hari.

Tindakan tertuduh itu mendorong kesemua mangsa membayar pelaburan bagi pembelian SSP itu.

Bagi setiap kesalahan mengikut Seksyen 420 KK, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Deposit/Bayaran/Tuntutan di mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 471 KK boleh dihukum mengikut Seksyen 465 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mohd Sufian turut didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu sekeping resit rasmi pembelian SSP di mana dokumen itu adalah cagaran berharga.

Tertuduh yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 KK boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di daerah Kuala Terengganu antara Julai 2017 hingga Jun 2018.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Nooriah menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 7:11 PM