TERTUDUH (dua kiri) diiringi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
TERTUDUH (dua kiri) diiringi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan penipuan membabitkan dana emas Raja-Raja Melayu pada November 2016 hingga Februari lalu

Bagaimanapun, tertuduh, Jemain Yatim, 60, berasal dari Kampung Sinaran Baru, Kempas, Johor mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, Jemain didakwa menipu Abdul Halim Mohd Noor, 62, membabitkan wang kutipan RM13,050 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB tertuduh bagi Dana Emas Raja-Raja Melayu di daerah ini antara 8.28 malam 30 November 2016 hingga 11.38 pagi 29 Disember 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Jemain menipu Abdul Halim membabitkan wang kutipan RM63,150 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB tertuduh bagi Dana Emas Raja Raja Melayu di daerah ini antara 12.03 tengah hari 2 Januari 2017 hingga 3.57 petang 11 Februari 2017.

Tertuduh didapati melakukan kedua-kedua kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail yang mencadangkan tertuduh boleh diikat jamin dengan wang jaminan RM40,000 untuk kedua-dua kes dengan seorang penjamin kerana ia membabitkan isu kerabat diraja dan usaha mencarinya sehingga terpaksa menggunakan media.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk kedua-dua kes dengan seorang penjamin dan 16 Mei tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen serta melantik peguam.

Harian Metro 31 Mac lalu melaporkan bekas anggota polis berusia 35 tahun dan suami isteri berusia 58 dan 60 tahun diburu polis kerana disyaki menjadi dalang sindiket penipuan pelaburan dana emas Raja-Raja Melayu membabitkan kerugian RM342,250.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Chang Teik Paing berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas pegawai dari Bahagian Keselamatan Istana Anak Bukit menafikan kewujudan skim pelaburan itu sebelum membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 3:36 PM