MEJAR Pahot mengunjungi Linjong di Tabut Skrang, Sri Aman. FOTO  Ihsan JHEV.
MEJAR Pahot mengunjungi Linjong di Tabut Skrang, Sri Aman. FOTO Ihsan JHEV.
Mohd Roji Kawi


KESULITAN hidup seorang balu anggota tentera yang kini hidup sebatang kara mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Linjong Edward, 70-an tinggal sendirian di Rumah Panjang Karin, Tabut Skrang, di Sri Aman, selepas anak tunggalnya meninggal dunia pada usia 52 tahun, beberapa tahun lalu.

Pengarah JHEV Sarawak, Mejar Pahot Joll berkata, pihaknya menerima maklumat daripada bekas tentera berhubung kesulitan yang dilalui Linjong.

Beliau berkata, sebaik menerima maklumat itu, mereka berusaha menjejaki wanita itu untuk mengetahui keadaan sebenar.

"Kami berjaya mengesan wanita itu dan didapati dia hanya bergantung kepada pencen terbitan suaminya, Tinggi Chakom yang terkorban ketika menentang pengganas komunis, sebanyak RM 243.67 sebulan.

"Selain itu, itu mengharapkan belas ihsan penduduk kampung untuk mendapatkan bekalan keperluan harian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pahot berkata, Tinggi yang juga anggota Sarawak Rangers terkorban dalam pertempuran dengan pengganas komunis pada 22 November 1970.

Kejadian itu berlaku ketika mendiang bersama tiga lagi anggota Sarawak Rangers menerima maklumat daripada penduduk kampung terdapat pengganas komunis di tebing Sungai Rejang.

Ketika menjejaki kumpulan pengganas itu, mereka diserang hendap dari arah kiri dan kanan bukit sehingga mengorbankan kesemua anggota Sarawak Rangers terbabit.

Pahot yang mengunjungi balu mendiang turut menyerahkan bantuan barang makanan dan sumbangan dari Tabung Jasamu serta membuat dokumentasi Bantuan Sara Hidup bagi menambah pendapatan dan meringankan beban yang ditanggungnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 11:08 AM