ABANG Johari memberi penghormatan terakhir kepada mendiang  Etin Anak Bijam. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Etin Anak Bijam. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan Sarawak akan mengabadikan nama rakyat negeri ini yang menerima pingat keberanian negara pada tempat tertentu bagi mengenang jasa mereka kepada keselamatan negara.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, dengan meletakkan nama penerima pingat terkanan Persekutuan iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) juga dapat mengingatkan generasi muda terhadap pengorbanan pahlawan negara itu.

Menurutnya, Sarawak mempunyai ramai penerima pingat keberanian Persekutuan seperti S.P dan Panglima Gagah Berani (PGB) kalangan bekas tentera dan polis.

"Memang kita akan menamakan sesuatu tempat seperti jalan atau bangunan sempena nama mereka, seperti nama Kanang (Temenggong Datuk Kanang Langkau) kita sudah abadikan pada satu tempat.

"Begitu juga dengan nama pahlawan negara yang lain. Sarawak sedang membangun dengan pesat yang sudah tentu ada banyak tempat baharu dibuka dan kita akan menamakan tempat tertentu sempena nama mereka," katanya

Abang Johari berkata demikian ketika ditemui selepas beliau memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang Koperal (B) Etin Bijam di Dewan Suarah, di sini, hari ini.

Turut memberi penghormatan terakhir terhadap pemegang pingat keberanian S.P itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar serta Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ibrahim Darus.

Selain mendiang Kanang dan mendiang Etin, ramai lagi anak Sarawak yang menerima pingat keberanian tertinggi termasuk mendiang Datuk Awang Raweng yang menerima pingat George Cross daripada kerajaan Britain.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Etin atas pemergian bekas anggota polis berusia 84 tahun itu.

"Terlalu banyak sumbangan mendiang terhadap keselamatan negara khususnya di Sarawak dalam era ancaman pengganas komunis.

"Pengorbanan beliau mempertahankan kedaulatan negara itu mendapat pengiktirafan dengan penganugerahan S.P dan sudah tentu kisah keberaniannya itu boleh dicontohi generasi muda yang cintakan keamanan negara," katanya.

Mendiang Etin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Miri akibat barah paru-paru, Selasa lalu.

Mendiang dianugerahkan pingat S.P oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 6 Julai 1972.

Penganugerahan itu hasil keberanian luar biasa yang ditunjukkannya bersama seorang lagi anggota Batalion 18, Pasukan Polis Hutan (PPH), Sarjan Ngalinuh Bala dalam pertempuran dengan sekumpulan pengganas komunis di Jalan Ulu Oya, Sibu pada 29 April 1972.

Mendiang akan disemadikan di Makam Pahlawan di Jalan Taman Budaya, di sini, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 4:34 PM