Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Berselisih ajal apabila peluru musuh terkena kelopak peluru dalam vest dipakai menyebabkan ia tidak melukakan tubuhnya antara situasi getir pernah dihadapi Mejar Jeneral (B) Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik ketika berhadapan dengan pengganas komunis.

Tengku Ahmad Noor berkata, pengalaman cemas dalam Operasi Kota Foxtrot di Perak pada Mei 1985 itu masih segar dalam ingatan sehingga ke hari ini dan dianggap mimpi ngeri kerana hampir meragut nyawanya.

Menurutnya, ketika itu dia yang bertugas sebagai Penolong Ketua Kompeni D diarahkan mencari serta menjejaki komunis selepas mendengar ketukan buluh dipercayai dibuat pengganas itu.

"Saya mengetuai platun bersama 24 anggota keluar untuk menjejaki pengganas komunis dan pada malam keesokan hari, kami mendengar bunyi ketukan buluh semakin jelas dan kuat.

"Bagi memelihara kerahsiaan semasa penjejakan, kami berpecah kepada dua kumpulan dan pada hari ketiga kesan musuh sudah dijumpai dengan jelas.

"Saya bersama dengan beberapa anggota pergi ke hadapan untuk meninjau dan ditembak pengganas komunis. Kami dihujani peluru dan saling berbalas tembakan dengan musuh dianggarkan seramai 15 orang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Panji, di sini, hari ini.

TENGKU Ahmad Noor menceritakan situasi getir dihadapinya sepanjang bertugas sebagai anggota tentera. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TENGKU Ahmad Noor menceritakan situasi getir dihadapinya sepanjang bertugas sebagai anggota tentera. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tengku Ahmad Noor berkata, dalam kejadian berbalas tembakan itu, dia yang berada dalam jarak lebih kurang 30 meter ditembak secara rambang oleh seorang pengganas komunis.

Menurutnya, salah satu tembakan musuh itu terkena pada kelopak peluru di dalam vest dipakainya dan dia bernasib baik kerana peluru itu tidak mengenai perutnya.

"Komunis yang melepaskan tembakan itu beranggapan saya sudah cedera dan cuba menghampiri untuk mengambil senjata, tetapi saya terus bangun dan menembak ke arahnya menyebabkan dia berguling untuk menyelamatkan diri.

"Saya ditembak beberapa kali oleh pengganas yang sedang berehat di sekitar kawasan itu dan saya melontar bom tangan ke arah mereka sebelum memanggil rakan untuk mara ke hadapan bagi memberi tembakan perlindungan.

"Setibanya di lokasi, Koperal Adnan memberitahu saya ditembak kerana kelopak peluru dalam vest dan udi senjata pecah," katanya.

Beliau berkata, tidak beberapa lama selepas itu pengganas komunis berundur kerana beranggapan kekuatan pasukannya ramai mungkin disebabkan laungannya kepada anggota.

Menurutnya, dia meminta bantuan kumpulan anjing pengesan, tetapi tidak dapat digerakkan kerana dikhuatiri musuh akan menembak helikopter dan bantuan tembakan mortar digunakan ke atas laluan dipercayai digunakan pengganas komunis untuk meneruskan penjejakan.

KOLEKSI gambar Tengku Ahmad Noor sepanjang bertugas sebagai anggota tentera selama lebih kurang 41 tahun. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KOLEKSI gambar Tengku Ahmad Noor sepanjang bertugas sebagai anggota tentera selama lebih kurang 41 tahun. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Bagaimanapun, katanya, operasi menjejaki pengganas komunis tidak boleh diteruskan kerana pihak musuh sudah melarikan diri ke selatan Thailand.

"Selain itu, peristiwa tidak dapat dilupakan ialah ketika Operasi Sedar Gubir di Kedah pada 1982 apabila tiga anggota saya parah selepas terkena jerangkap samar.

"Ketika kejadian, kami digerakkan untuk membantu Kompeni B, Batalion 18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) yang diserang pengganas komunis mengakibatkan tiga anggota cedera ditembak ketika membuat penjejakan sehingga ke kem pengganas komunis .

"Selama dua bulan kami menjalankan operasi menjejaki pengganas komunis dan dalam tempoh itu, keadaan amat merbahaya apabila banyak berlaku kejadian jerangkap samar dan serang hendap oleh pengganas komunis.

"Namun di atas semangat keberanian dan setiakawan dalam kumpulan, kami berjaya untuk menghapuskan pengganas komunis daripada bertapak di negara tercinta," kata bapa kepada tiga anak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 2:58 PM