ANGGOTA Komunis yang menyerah diri kepada pihak berkuasa.
ANGGOTA Komunis yang menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Tan Sri Khalid Abu Bakar

Pembaca budiman, dalam siri terakhir pengkisahan mengenai F TEAM, saya ingin menyentuh secara ringkas mengenai operasi yang dijalankan oleh pasukan elit Cawangan Khas ini, sepanjang perjuangan mereka menghapuskan ancaman keganasan komunis di negara ini. Harus diberi pengiktirafan kepada mereka ini yang bergerak dalam kumpulan kecil, tetapi mampu menawan dan menghapuskan musuh sehingga berjaya mengakhiri era ancaman komunis di negara ini. Di sinilah letaknya kekuatan Cawangan Khas di mana pasukan elit ini mampu mengumpul risikan dan merancang setiap operasi dengan teliti dan teratur.

Antara operasi mega yang dijalankan oleh F TEAM sehingga berjaya menumpaskan serta melumpuhkan gerakan pengganas komunis di Malaysia ialah OPERASI KELONG yang dilancarkan pada tahun 1976 dalam memburu dan menghapuskan gerakan pengganas komunis bawah tanah. F TEAM juga berjaya memusnahkan sel-sel Pertubuhan Bawah Tanah Komunis, memutuskan jaringan bersenjata dan menangkap Ct Chai Kar Leong sehingga lumpuhnya Gerakan Bawah Tanah Komunis MNLF yang giat bergerak di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Johor dan Singapura.

OPERASI KELAH yang dilaksanakan pada 1982 berjaya menangkap hidup ramai anggota pengganas komunis dari Unit Penggempur ke-16 yang menyelinap masuk menggunakan jalan hutan dari BETONG dan bertapak di hutan PAHANG, SELANGOR dan PERAK. Operasi ini mengambil masa hampir 2 tahun sehingga F TEAM berjaya melumpuhkan sepenuhnya unit ini. Operasi mega terakhir dan juga merupakan operasi terbesar Cawangan Khas ialah OPERASI TAA LOONG pada 1988 sehingga tertangkapnya Ketua Pengganas Komunis paling dikehendaki iaitu CT Chong Chor, penyerahan diri 83 orang pengganas komunis di Tanjung Malim, Permusnahan ‘Food Dump’, kem-kem komunis dan rampasan senjata di seluruh Semenanjung Malaysia sehingga lumpuhnya gerakan pengganas komunis di Malaysia.

OPERASI KELAH dilancarkan pada 1982 terhadap Unit Penggempur Ke-16, Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyusup masuk dari selatan Thailand melalui Jajaran Timur (Eastern Corridor) Banjaran Titiwangsa, dari Perak dan Kelantan, menuju ke selatan sehinggalah sampai ke daerah Kuala Lipis, Pahang. Tujuan mereka ialah untuk bergabung dengan Unit Penggempur Ke-6 dan memberi bantuan senjata api dan alat-alat perhubungan (radio communication sets) tambahan. Hasilnya, F TEAM berjaya menghalang pertemuan dan penyatuan kedua-dua unit penggempur tersebut. Melalui beberapa siri operasi gerakan sulit yang dilaksanakan di Kuala Lipis Pahang, kesemua 23 anggota komunis Unit Penggempur Ke-16, termasuk ketuanya CT Ah Chor berjaya ditawan hidup-hidup dan sejumlah besar senjata api serta alat-alat komunikasi radio dirampas. Kejayaan menghapuskan Unit Penggempur Ke-16 ini sangat signifikan kerana sekiranya kedua-dua Unit Penggempur ini berjaya bersatu, sudah pasti tentera PKM akan bertambah kuat kerana memiliki kekuatan senjata api dan peralatan komunikasi yang besar.

OPERASI KELISA - Operasi ini dijalankan bagi tujuan menjejaki dan menawan anggota Pasukan Kerja Bersenjata (Armed Work Force-AWF) Ke- 5 yang ditubuhkan pada 1979 untuk menyelaraskan semua aktiviti AWF yang beroperasi di kawasan PAHANG Barat. Operasi Kelisa digerakkan bertujuan menjejaki anasir komunis yang masuk ke kawasan pembalakan untuk tujuan memeras wang daripada kontraktor ataupun pekerja balak. F TEAM telah menjalankan tinjauan bagi tujuan mengenal pasti laluan dan tempat yang mungkin digunakan oleh pihak pengganas sebagai tempat rehat atau kem sementara mereka semasa menghubungi pekerja balak. Dalam operasi ini, F TEAM berjaya mengesan jejak/denai yang disyaki dibuat oleh musuh, tetapi diserang hendap ketika melakukan penjejakkan. Serangan balas telah dilakukan sehingga pihak musuh melarikan diri. Penggeledahan di tempat kejadian menemukan beberapa kartus peluru kosong. Seterusnya, satu serang hendap ke atas kumpulan pengganas yang berada di sebuah rumah di kebun getah lebih kurang 200 meter dari Jalan Mancis/Durian Tipus telah dibuat sehingga berjaya menghapuskan dua pengganas lelaki dan dua perempuan di mana salah seorang yang terbunuh ialah Ct Goo SiBeng yang amat dikehendaki.

OPERASI KELONG - bertujuan menjejaki lokasi terakhir yang digunakan oleh Ct Pang Kuan dan Kumpulan Karak di Batu 36, Jalan KL – Bentong. Operasi KELONG yang telah dilancarkan di kawasan Telemong/Manchis telah membawa kepada dua (2) tangkapan pengganas yang bersenjata iaitu Tan Siong-Hock @ Ah Hon and Chong Yook-Fong @ Ting Ching. Operasi ini turut melakar sejarah apabila 14 CT yang bersenjata turut menyerah diri dan berjaya melumpuhkan saluran komunikasi antara gerombolan pengganas di kawasan terbabit dengan anasir bawah tanah mereka.

OPERASI PANCING - adalah operasi pemantauan yang dijalankan ke atas pengganas komunis yang aktif di sekitar kawasan Ulu Yam Baru, Rawang, Batang Kali, Serendah, Rasa dan Kerling, Selangor bermula April 1984 sehingga Julai 1988. Pada 16 Mei 1988, dua operatif F TEAM menjalankan tugas penyamaran sebagai orang awam yang bekerja di sebuah kolam ikan di kawasan Kerling, Selangor. Hasil daripada perancangan rapi yang dijalankan, F TEAM telah berjaya menembak mati Ct Ah Keong, Ketua Pasukan Kerja Bersenjata Pertama serta merampas senjata api termasuk 2 butir granade buatan sendiri. Hasil daripada operasi ini juga, dua pengganas telah dapat ditangkap hidup-hidup sementara dua lagi telah ditembak mati.

OPERASI ULAR - yang dijalankan di kawasan pinggir hutan Sungai Meranti di Jalan KKB ke Bukit Fraser, Pahang, dengan hanya empat anggota F TEAM sahaja telah berjaya menghapuskan empat pengganas komunis, termasuk seorang kanak-kanak yang terkorban semasa kejadian berbalas tembakan. Antara yang terkorban ialah ketua mereka, Ct Pang Wu. Tiga pucuk senjata pistol jenis lama, satu daripadanya dilekatkan di ‘butt’ kayu buatan sendiri telah dijumpai. Pasukan dari UCIS 5 RENJER telah membuat penjejakan lanjut selepas operasi tersebut dan berjaya mengesan dan menembak mati seorang pengganas yang melarikan diri.

OPERASI TA LOONG - adalah kejayaan terbesar dalam sejarah negara memerangi kegiatan pengganas komunis apabila tertangkapnya Ketua Komunis Kumpulan 6th Assault iaitu Chong Chor pada 2 Mac 1988 di Kuala Lumpur. Operasi ini juga telah berjaya menghasilkan tangkapan seramai 83 orang pengganas hidup-hidup serta merampas ratusan laras senjata api serta bom tangan buatan sendiri. Operasi yang turut dibantu oleh beberapa orang bekas pengganas komunis ini, turut berjaya mengesan ‘food dumps dan weapons dumps’ yang digunakan untuk menyorok makanan/ senjata api/ lain-lain di dalam tanah. Antara yang berjaya ditemui dalam gerakan tersebut ialah wang tunai berjumlah $14,444.00 . Dengan tertangkap Chong Chor yang seterusnya membawa kepada Perjanjian Damai di Hatyai, Thailand, maka berakhirlah ancaman keganasan komunis di Semenanjung Malaysia.

OPERASI CHIEN MEH - secara dasarnya bertujuan mengeluarkan saki baki pengganas komunis North Kalimantan Communist Parti (PARAKU) SARAWAK dan memusnahkan bekalan senjata api milik mereka. Dua (2) kompeni dari Kompeni Pertama dan Ketiga Parti Komunis Kalimantan Utara (NKCP) yang beroperasi dalam kawasan hutan di tengah daerah Negeri SARAWAK terdiri daripada Bahagian Ke-3, Ke-6 dan Ke-7 kawasan RASCOM, manakala di sebelah utara membabitkan Bahagian Ke-4. Selepas wakil daripada pihak Parti Komunis Kalimantan Utara (NKCP) membuat beberapa siri pertemuan bersama pegawai Cawangan Khas, mereka telah memutuskan untuk menerima tawaran kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Sarawak bagi mengadakan perjanjian damai. Akhirnya, pada 3 NOV 1990, Biro Ke-2 Parti Komunis Kalimantan Utara telah memusnahkan semua senjata api, peluru dan bahan letupan milik mereka seperti yang dipersetujui dalam perjanjian yang ditandatangani pada 17 Oktober 1990. Seterusnya, saki baki pengganas komunis telah berjaya dikeluarkan dari kawasan operasi di mana F TEAM diberi tanggungjawab untuk melakukan operasi ‘pemutihan’ terhadap anggota komunis yang ingin menyerah diri, melupuskan senjata serta memusnahkan kem sepanjang perjalanan operasi ini yang bermula pada 2 November 1990.

NKCP telah membubarkan semua unit bersenjata dalam tempoh dua minggu dari tarikh perjanjian dicapai dan semua ahli mereka ‘menarik diri’ dari hutan. Dengan kejayaan Operasi CHIEN MEH ini, maka berakhirlah era keganasan komunis di Malaysia sepenuhnya.

F TEAM telah dibubarkan secara rasminya pada 1 Mei 1995. Maka berakhirlah suatu riwayat dan kisah perjuangan sebuah pasukan elit yang cemerlang dan terbilang. Namun jasa dan pengorbanan mereka kepada agama, bangsa dan negara akan tetap disanjung dan nama mereka dijulang sebagai wira negara yang sanggup berkorban jiwa dan raga walaupun tidak dikenali ketika negara berhadapan dengan ancaman komunis. ‘Only The Brave’ yang mampu menempa kejayaan yang mereka lakarkan. JASAMU DIKENANG. NAMAMU DIJULANG.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 3:39 AM