Micheal Riman Bugat
Micheal Riman Bugat
Mohd Roji Kawi

Kuching: Pemegang pingat keberanian Panglima Gagah Berani (PGB) Mejar (B) Micheal Riman Bugat, meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang di sini, hari ini.

Mendiang Micheal Riman, 71, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 9 pagi hari ini.

Menurut adiknya, Gedik Bugat, mendiang yang tinggal di Taman Desa Wira, Batu Kawa di sini, mengadu sakit perut pada 7 pagi.

Berikutan itu, katanya, mendiang dikejarkan ke HUS menggunakan ambulans.

"Setiba di Unit Kecemasan HUS, dia pengsan dan diberi bantuan kecemasan oleh kakitangan perubatan.

"Namun, beliau gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital," katanya ketika ditemui di kediaman mendiang, hari ini.

Jenazah mendiang akan ditempatkan di Association of Churches in Sarawak (ACS) di Jalan Stampin di sini, esok untuk penghormatan terakhir.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Sarawak Mejar Pahot Joll berkata, pahlawan negara itu dijadual akan disemadikan di Makam Pahlawan Jalan Taman Budaya di sini, pada Khamis ini.

"Upacara pengebumian mendiang akan dijalankan mengikut istiadat ketenteraan," katanya.

Micheal Riman adalah rakan sepasukan mendiang Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau dalam Batalion Ke-8, Rejimen Renjer Diraja (RJR) yang terbabit dalam beberapa pertempuran dengan pengganas komunis termasuk pertempuran sengit di Gopeng, Perak pada 1 Jun 1979.

Dalam pertempuran itu, Micheal Riman mengalami kecederaan parah di tangan kanan yang menyebabkan beliau mengalami kecacatan kekal.

Micheal Riman dan pasukannya berjaya membunuh seramai lima orang pengganas komunis dalam pertempuran itu.

Hasil keberanian yang dipamerkannya, beliau dianugerahkan pingat keberanian PGB oleh Yang Di-Pertuan Agong Sultan Iskandar Sultan Ismail pada 6 Jun 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 4:49 PM