Zulkarnain (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen antara Dunging (kanan) kepada Pahot sebagai Pengarah JHEV Sarawak yang baru.
Zulkarnain (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen antara Dunging (kanan) kepada Pahot sebagai Pengarah JHEV Sarawak yang baru.
Mohd Roji Kawi

HARAPAN veteran tentera yang dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) menikmati elaun khas pingat berkenaan kembali bersinar, selepas usaha untuk mendapatkannya tahun ini tidak kesampaian.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, beliau sudah menerima arahan untuk mengemukakan kertas kerja pemberian elaun khas itu kepada Kabinet.

Menurutnya, sebelum ini beliau sudah membentangkan kertas kerja mengenai cadangan pemberian elaun khas kepada penerima PJM itu kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng)dan pada dasarnya ia dipersetujui tetapi pembayarannya tidak dapat dilaksanakan tahun ini berikutan kekangan kewangan kerajaan.

“Tiga hari lalu, saya menerima arahan supaya mengemukakan semula kertas kerja berhubung cadangan pemberian elaun khas itu kepada Kabinet kerana hanya jemaah Menteri saja yang boleh membuat keputusan sama ada permohonan itu diluluskan atau tidak.

“Ketika ini, JHEV juga sedang berusaha untuk mendaftarkan permohonan peruntukan berjumlah RM418 juta bagi pembayaran elaun itu untuk dimasukkan dalam Bajet 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Dialog Bersama Veteran ATM selepas majlis Serah Terima Tugas Pengarah JHEV Sarawak antara Leftenan Kolenel Dunging Serit dengan penggantinya, Mejar Pahot Joll di Kompleks Belia dan Sukan, Kuching hari ini.

Dzulkarnain berkata, pembentangan kertas kerja itu merangkumi cadangan penggubalan Akta PJM kerana ia membabitkan pembayaran elaun.

“Semua pingat yang diberi elaun seperti Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) ada akta sendiri dan itu yang kita perlu laksanakan jika PJM juga menerima elaun,” katanya.

Sehubungan itu, beliau minta lebih 70,000 penerima dan bakal penerima PJM di seluruh negara supaya bersabar kerana kelulusan permohonan pembayaran elaun itu bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

“Kalau ada rezeki, tahun depan kita akan menerima elaun itu dan jika ia menjadi kenyataan, tentunya ia paling menggembirakan sehingga kita meninggal dunia,” katanya.

PJM dianugerahkan kepada pegawai dan anggota tentera yang berkhidmat ketika peperangan menentang insurgensi dalam tempoh 1969 sehingga 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 4:28 PM