KAKITANGAN Jabatan Perikanan Negeri Johor membuat siasatan di Sungai Sembrong yang dilaporkan tercemar pada 2 Jun lalu. FOTO IHSAN PEMBACA.
KAKITANGAN Jabatan Perikanan Negeri Johor membuat siasatan di Sungai Sembrong yang dilaporkan tercemar pada 2 Jun lalu. FOTO IHSAN PEMBACA.
Adnan Ibrahim


SEBUAH kilang kelapa sawit dipercayai menjadi penyumbang kepada pencemaran air di Sungai Sembrong pada 1 Jun lalu sehingga menyebabkan ribuan ikan dan udang galah mati.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor Dr Mohd Famey Yusoff berkata, hasil siasatan mendapati kilang terbabit melanggar syarat yang dikeluarkan oleh pihaknya.

"Pemeriksaan yang dilakukan ke atas kilang berkenaan menemui kesan air larian daripada sistem 'furrow' dialirkan ke Sungai Sembrong sehingga menyebabkan ia tercemar dan hidupan sungai mati.

"Diharapkan tindakan penggantungan lesen ke atas kilang berkenaan akan memberikan kesedaran kepada orang ramai khususnya pengusaha agar tidak melakukan kesalahan serupa pada masa akan datang," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Pada 2 Jun lalu, akhbar ini melaporkan ribuan ikan dan udang galah mati selepas air sungai dicemari dengan aliran minyak dari bahagian hulu Sungai Sembrong.

Berikutan kejadian itu, nelayan darat di Kampung Orang Asli Kuala Sengka, Air Pasir, Sedohok dan Sungai Peroh terjejas teruk berikutan hilang punca pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 5:45 PM