Sungai Sembrong.
Sungai Sembrong.
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor membuka satu kertas siasatan susulan pencemaran Sungai Sembrong, Kluang yang menyebabkan hidupan akuatik sungai berkenaan mati pada Jun dan Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, kes pencemaran Sungai Sembrong yang menyebabkan ribuan ikan sungai berkenaan mati itu juga menjejaskan mata pencarian penduduk Orang Asli.

Katanya, susulan itu, JAS Johor mengadakan Ops Gempur pada Selasa dan Rabu lalu bagi memeriksa premis termasuk kilang yang beroperasi di sepanjang jajaran Sungai Sembrong.

"Ops Gempur yang dilaksanakan dua hari berturut-turut itu membabitkan seramai 45 anggota penguat kuasa JAS Johor.

"Sebanyak 55 premis yang tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 diperiksa dan hasil daripada tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan itu, satu kertas siasatan dibuka JAS Johor membabitkan kes mencemarkan Sungai Sembrong terhadap sebuah premis di situ.

"JAS Johor turut mengeluarkan sebanyak 115 kompauan terhadap 55 premis yang diperiksa atas pelbagai kesalahan alam sekitar.

"Selain itu, JAS Johor turut mengeluarkan 55 Arahan Di Lapangan, 26 Notis Arahan dan tiga Penahanan Kelengkapan Operasi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jun lalu, media melaporkan ribuan udang galah dan ikan air tawar ditemui mati terapung di permukaan Sungai Sembrong dekat Kampung Orang Asli Sedohok, Kluang.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sedohok, Halim Jahari dilaporkan berkata, kejadian itu disyaki berpunca daripada pencemaran sungai berkenaan.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, tindakan segera juga sudah diambil JAS Johor sebaik sahaja kejadian pencemaran berlaku pada 2 Jun dan 12 Julai lalu.

"Tindakan diambil termasuk penggantungan lesen di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap premis yang disyaki menyebabkan pencemaran.

"JAS Johor memandang serius kes pencemaran Sungai Sembrong yang menjejaskan mata pencarian penduduk Orang Asli dan akan terus menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan secara berkala ke atas punca industri yang melepaskan air buangan ke Sungai Sembrong dan sungai lain di Kluang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 2:29 PM