LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Adnan Ibrahim


Kluang: Lesen operasi sebuah kilang kelapa sawit yang menjadi punca pencemaran air Sungai Sembrong Kiri dan Sungai Kahang pada 13 Oktober lalu, digantung selama tiga bulan bermula semalam hingga 14 Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyanabthan berkata, tindakan itu dilakukan kerana kegagalan pihak pengurusan kilang mematuhi syarat lesen sepenuhnya terutama untuk memastikan kolam pengolahan dibentengkan dengan sempurna dan berfungsi dengan baik.

Beliau berkata, arahan dikeluarkan supaya pihak kilang segera menjalankan kerja pembaikan dan lesen hanya akan diserah semula jika Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor berpuas hati dengan kerja pembaikan dilaksanakan.

"Pencemaran air sungai oleh pihak kilang berkenaan turut mengakibatkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) di Semberong Timur selain banyak ikan mati.

"Hasil siasatan, JAS mendapati kejadian berlaku akibat daripada benteng pada kolam tadahan sebuah kilang kelapa sawit pecah menyebabkan air dari kolam itu tidak dapat dikawal daripada terus melimpah ke dalam sungai," katanya melalui kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati pihak pengurusan kilang sudah membaiki benteng pecah itu selepas kejadian dilaporkan kepada JAS Cawangan Kluang membolehkan air kolam dapat dikawal daripada terus melimpah.

Menurutnya, orang awam yang mempunyai maklumat tambahan berhubung kejadian itu diminta untuk menghubungi talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan ribuan ikan mati selepas air di Sungai Sembrong Kiri dan Sungai Kahang tercemar akibat pelepasan air sisa kelapa sawit oleh sebuah kilang.

Keadaan itu menyebabkan air bertukar warna hitam dan mengeluarkan bau busuk disamping menyebabkan banyak ikan mati.

Berita berkaitan

  • Air sungai hitam, bau busuk
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 4:01 PM