UDANG galah yang didapati dari sungai berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
UDANG galah yang didapati dari sungai berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
Adnan Ibrahim


RIBUAN udang galah dan ikan air tawar ditemui mati di Sungai Sembrong dekat Kluang, semalam.

Ia ditemui oleh penduduk Kampung Orang Asli Sedohok kira-kira 5 petang.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sedohok, Halim Jahari berkata, pihaknya mengesyaki kejadian yang berlaku ini berpunca daripada pencemaran terhadap air sungai berkenaan.

Katanya, pihak berkaitan diharapkan dapat melakukan siasatan segera pencemaran ini yang mungkin berpunca daripada beberapa buah kilang serta perusahaan yang terdapat di hulu sungai ini.

"Air sungai dilihat berminyak dan mungkin ia adalah penyebab utama pencemaran ini sehingga menyebabkan udang dan ikan mati.

"Malah saya ada mengambil sedikit air sungai berkenaan sekiranya diperlukan oleh pihak berkenaan untuk membuat kajian dan siasatan punca pencemaran," katanya kepada NSTP, hari ini.

Menurut Halim, pihaknya tidak mengesyaki kejadian ini berpunca daripada aktiviti menuba kerana ia tidak akan menyebabkan air berminyak seperti yang berlaku petang semalam.

"Sebagai langkah keselamatan, semua penduduk yang ada mengambil ikan atau udang di sungai ini petang semalam dilarang untuk memakannya kerana bimbang ia tercemar.

"Saya menggesa tindakan sewajarnya perlu dilakukan kepada pihak yang bertanggungjawab mencemarkan Sungai Sembrong ini kerana ia secara tidak langsung menjejaskan pendapatan nelayan darat yang bergantung sepenuhnya terhadap sumber yang terdapat di dalam sungai ini.

Menurut Halim, pihaknya juga bimbang akibat daripada pencemaran ini akan memerlukan tempoh masa yang agak lama untuk ia kembali pulih seperti biasa bagi membolehkan aktiviti perikanan dilakukan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 8:44 AM