GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


ENAM lelaki yang memecah masuk sebuah kedai kopi di Jalan Ahmad Badawi, Kepala Batas dicekup polis dalam beberapa serbuan, semalam.

Penahanan mereka dibuat susulan laporan polis oleh peniaga berusia 23 tahun memaklumkan premis yang disewa oleh ibunya dipecah masuk.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa pergi ke kedai kopi terbabit pada 8 malam kelmarin selepas diberitahu sekumpulan lelaki melarikan peralatan memasak.

"Dalam laporan mangsa memaklumkan dia tidak membuka premisnya sejak lebih dua bulan lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun, dia terus ke kedainya untuk membuat pemeriksaan sejurus diberitahu saksi ternampak ada orang memecah masuk ke premisnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, pemeriksaan yang dijalankan mangsa mendapati peralatan memasak dan sejumlah wang tunai yang diletakkan di kaunter hilang.

"Bertindak atas laporan mangsa, polis mengadakan beberapa serbuan di sekitar daerah Seberang Perai Utara dan menahan enam suspek berusia 32 hingga 55 tahun antara 7 hingga 10 pagi semalam.

"Dalam serbuan itu, polis turut menemui peralatan memasak yang dicuri suspek dan merampasnya untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, polis turut merampas sebuah motosikal, topi keledar dan pakaian yang digunakan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 2:04 PM