PEMAIN KL City FC Sharvin Selvakumaran (tengah) menanduk bola keluar ketika pasukannya menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. FOTO Bernama
PEMAIN KL City FC Sharvin Selvakumaran (tengah) menanduk bola keluar ketika pasukannya menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketiadaan pemain utama selain terpaksa mengubah taktikal saat akhir ternyata membawa hikmah buat Kuala Lumpur City (KL City) FC apabila berjaya mencatat kemenangan penting 1-0 ke atas Selangor FC (SFC) dalam saingan Liga Super 2024/2025 yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, malam semalam.

Ketua jurulatih KL City, Miroslav Kuljanac berkata, kecederaan pemain utama seperti Brendan Gan, Lazar Sajcic dan beberapa pemain penting sememangnya memberi satu cabaran buat beliau menyediakan taktikal serta strategi ampuh menentang SFC yang berada di prestasi terbaik ketika ini.

Namun begitu, beliau amat bangga apabila pemain yang diturunkan dalam perlawanan penting itu berjaya memainkan peranan dengan sangat baik serta menggunakan taktikal seperti dirancang.

"Sebelum perlawanan ini (menentang Selangor) saya sedikit risau apabila pada Jumaat lalu, Brendan dan Lazard mengalami kecederaan. Malah selepas itu, Patrick Reichelt, Nicholas Swirad juga berada dalam senarai kecederaan.

"Mereka ini pemain penting untuk pasukan. Tiba-tiba dalam latihan terakhir saya perlu menukar segalanya. Saya perlu memasukkan pemain baru dan saya tidak mempunyai banyak pilihan di bangku simpanan.

"Anda boleh lihat, saya hanya menggunakan beberapa pemain (pertukaran) kerana ia sangat sukar untuk pemain muda. Saya tahu, ada orang berkata letakkan pemain itu dan ini tetapi tidak mudah untuk menurukan pemain muda dalam permainan penting ini tapi pemain saya berjaya membuktikan mereka antara yang terbaik dalam perlawanan itu," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Selain itu, jurulatih kelahiran Croatia juga memaklumkan salah satu kunci kejayaan mereka mendapatkan tiga mata penting adalah pemain bermain tanpa sebarang tekanan sehingga membolehkan setiap individu memberikan persembahan terbaik.

Terdahulu, skuad warga kota berjaya membenam Red Giants 1-0 apabila jaringan Jovan Motika pada minit ke-62 sudah cukup untuk mereka mendapatkan kemenangan kedua musim ini selepas lima perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 4:17 PM