Nur Izzati Mohamad

HANTAR wang hasil kegiatan pecah pasar raya, kedai emas dan rumah bernilai hampir RM1 juta kepada keluarga yang berada di Vietnam.

Itu kegiatan dua lelaki yang bekerja sebagai penyembelih khinzir apabila mereka bertindak melakukan pelbagai jenayah sejak Januari lalu di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kegiatan dua lelaki berusia 33 dan 38 tahun itu akhirnya tumpas selepas mereka ditahan polis yang mengadakan Op Tebuk, Rabu lalu.

"Ketika itu dua lelaki berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta di Jalan Raja Uda pada jam 1.12 pagi.

"Polis bertindak mengekori mereka hingga ke sebuah taman perumahan sebelum kedua-duanya bertindak melarikan diri namun kecekapan polis berjaya menahan mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, hari ini.

Menurutnya, operasi itu diadakan susulan laporan yang dibuat dua pemilik pasar raya apabila premis mereka dipecah masuk sebelum ini.

"Siasatan terhadap kedua-dua suspek mendapati pasport yang digunakan adalah palsu dan mereka tinggal di negara ini sejak tiga tahun lalu.

"Polis juga menemui pelbagai peralatan dan senjata yang digunakan mereka dalam kegiatan jenayah pada kereta yang dipinjam dari rakan," katanya.

Noorzainy berkata, hasil siasatan lanjut, mereka mengaku melakukan kegiatan pecah pasar raya, kedai emas dan rumah dengan dua lagi rakan senegara yang masih bebas.

"Modus operandi yang digunakan mereka adalah masuk dari pintu belakang premis, kemudian memecah peti besi dengan menggunakan peralatan penebuk seperti gerudi sebelum mengambil wang tunai dan pelbagai barangan berharga lain seperti barangan kemas di dalam kedai emas yang terdapat dalam pasar raya terbabit.

"Secara keseluruhan, pemilik premis yang terbabit menanggung kerugian hampir RM1 juta yang mana wang itu suspek kirimkan kepada keluarga mereka yang berada di Vietnam," katanya.

NOORZAINY (tengah) menunjukkan pelbagai peralatan yang digunakan dua suspek warga Vietnam untuk melakukan kegiatan pecah pasaraya, kedai emas dan rumah pada sidang media di IPD Seberang Perai Utara. FOTO Nur Izzati Mohamad
NOORZAINY (tengah) menunjukkan pelbagai peralatan yang digunakan dua suspek warga Vietnam untuk melakukan kegiatan pecah pasaraya, kedai emas dan rumah pada sidang media di IPD Seberang Perai Utara. FOTO Nur Izzati Mohamad

Menurutnya, dengan penahanan kedua-dua suspek, polis berjaya menyelesaikan enam kes pecah pasar raya, kedai emas dan rumah yang berlaku di daerah ini.

"Usaha mengesan dua lagi rakan senegara suspek yang masih bebas giat dijalankan.

"Dua suspek itu kini direman sehingga Selasa depan untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 2:32 PM