PEMAIN KL City FC Haqimi Azim (kiri) cuba menyekat kemaraan pemain Selangor FC Zikri Khalili.
PEMAIN KL City FC Haqimi Azim (kiri) cuba menyekat kemaraan pemain Selangor FC Zikri Khalili.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kekalahan Selangor FC (SFC) 0-1 kepada Kuala Lumpur City (KL City) FC dalam perlawanan Liga Super 2024/2025 malam semalam memberi pengajaran sangat besar buat barisan kejurulatihan untuk mengatur strategik lebih baik selepas ini apabila beraksi di tempat lawan.

Ketua jurulatih Red Giants, Nidzam Jamil berkata, kekalahan itu satu tamparan hebat buat mereka dan beliau akan melakukan beberapa perancangan taktikal terutama ketika tidak beraksi di gelanggang sendiri bagi mendapat mata penting.

Beliau menyedari selepas beberapa aksi di tempat lawan, skuad kendaliannya gagal mendapatkan keputusan positif.

"Saya pun ada terfikir perkara sama juga (tewas aksi tempat lawan), mungkin kami perlu menukar sedikit dari segi persiapan untuk menghadapi aksi tempat lawan.

"Dua aksi tempat lawan, satu dalam Piala FA dan satu perlawanan liga, kami tewas. Saya percaya kami boleh menang malam ini (semalam) sebenarnya, jika semua meletakkan tumpuan pada tahap terbaik.

"Bagi perlawanan akan datang, mungkin akan ada sedikit kelainan dari segi persiapan kami supaya apabila bermain di tempat lawan tidak terlalu fikirkan apa yang bakal berlaku," katanya.

Untuk rekod, SFC tewas dua perlawanan di tempat lawan musim ini termasuk tunduk 1-2 kepada Kuching City di Stadium Negeri, Kuching di suku akhir pertama Piala FA, 29 Jun lalu.

Ketika ini, selepas lima perlawanan, skuad kendalian Nidzam masih kekal di kedudukan kedua liga namun ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 4:28 PM