Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Dua lelaki sanggup memecah masuk rumah dan pejabat tapak binaan untuk mencuri peralatan berharga termasuk burung bernilai mencecah ribuan ringgit sebagai pertukaran bagi mendapatkan bekalan dadah.

Bagaimanapun, suspek yang aktif melakukan perbuatan itu sejak dua bulan lalu itu tumpas melalui dua serbuan kira-kira 10 pagi pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis sebelum itu menyerbu sebuah rumah di Kampung Perlis, Butterworth dan menahan lima lelaki berusia 21 hingga 49 tahun termasuk seorang pengedar dadah berusia 37 tahun.

"Siasatan mendapati pengedar dadah itu adalah pembeli barang-barang curi sebagai tukaran bagi mendapatkan dadah tanpa membabitkan wang tunai.

"Empat lelaki bersamanya pula adalah orang suruhan yang bertindak menjual bekalan dadah miliknya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, susulan itu polis menahan dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun di sebuah rumah di Mak Mandin, Butterworth dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah serta pejabat tapak binaan.

NOORZAINY (dua kanan) menunjukkan antara pelbagai peralatan dan mesin untuk kerja-kerja ditapak pembinaan yang dirampas selepas polis menahan tujuh lelaki terbabit kes pecah rumah dan pejabat ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara. FOTO Danial Saad
NOORZAINY (dua kanan) menunjukkan antara pelbagai peralatan dan mesin untuk kerja-kerja ditapak pembinaan yang dirampas selepas polis menahan tujuh lelaki terbabit kes pecah rumah dan pejabat ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara. FOTO Danial Saad

"Soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam lima kes pecah rumah di Butterworth dan Mak Mandin termasuk dua kes yang dilaporkan pada awal bulan ini.

"Memandangkan kedua-dua mereka adalah penagih tegar maka hasil yang dicuri diberikan kepada pengedar dadah sebelum ditukarkan kepada dadah," katanya.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan antara mesin penebuk, gergaji elektrik, mesin semburan air dan mesin pemotong.

"Selain itu, tujuh ekor burung dianggarkan bernilai RM1,000 hingga RM2,000 dipercayai dicuri termasuk sejumlah dadah jenis heroin dan syabu dirampas bagi siasatan lanjut.

"Kesemua barangan yang dirampas termasuk burung dianggarkan bernilai RM20,000," katanya.

Katanya, ketujuh-tujuh suspek yang mempunyai rekod jenayah direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

NOORZAINY menunjukkan antara tujuh ekor burung yang dirampas. FOTO Danial Saad
NOORZAINY menunjukkan antara tujuh ekor burung yang dirampas. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 4:26 PM