ANTHONY Loke pada sidang media selepas hadir Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya. FOTO Hazreen Mohamad
ANTHONY Loke pada sidang media selepas hadir Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Kerajaan terus komited menuntut keadilan bagi 298 mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas akibat ditembak kumpulan pengganas di Ukraine sedekad lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Malaysia bersama beberapa negara lain yang terbabit akan meneruskan tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa.

"Dari segi undang-undang di peringkat antarabangsa akan diteruskan oleh Malaysia dan beberapa negara lain terutama di mana mempunyai penumpang yang ramai (warga negara berkenaan).

"Tindakan undang-undang sedang dalam proses, masih berjalan sekarang," katanya pada sidang media Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) di sini, hari ini.

Untuk rekod pesawat malang itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu ketika terbang di kawasan konflik di timur Ukraine dan membunuh semua penumpang serta anak kapal pada 14 Julai 2014.

Mangsa terdiri daripada penumpang dari 17 negara termasuk 198 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, 38 dari Australia dan 10 lagi berasal dari United Kingdom (UK).

Pada 17 November 2022, Mahkamah The Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap dua warga Russia dan seorang rakyat Ukraine secara in absentia selepas mendapati mereka bersalah menyebabkan pesawat itu terhempas dan kesemua 298 penumpang terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 4:06 PM