POLIS merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan seorang lelaki melakukan kegiatan pecah kedai di Bukit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
POLIS merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan seorang lelaki melakukan kegiatan pecah kedai di Bukit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Walaupun baharu sahaja selesai menjalani perintah pengawasan polis mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), seorang lelaki tidak serik apabila memecah masuk sebuah kedai dan melarikan pelbagai gajet serta sejumlah rokok pelbagai jenama.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima laporan daripada pengurus premis pada 30 November lalu pada 8.30 pagi dengan memaklumkan premisnya di Jalan Rozhan di sini, dipecah masuk individu tidak dikenali.

"Dalam kejadian itu, lelaki berkenaan didapati memecah masuk dengan masuk melalui tingkap bahagian belakang premis itu.

"Suspek melarikan sebuah iPad, iPad mini, telefon bimbit Samsung model A50 serta beberapa kotak rokok pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, bertindak melalui siasatan yang dijalankan polis berjaya menjejaki suspek berusia lingkungan 40-an itu sebelum membuat tangkapan ke atasnya.

"Polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menjalankan kegiatan itu antaranya sepasang sarung tangan, pemotong besi yang boleh dileraikan, pahat dan pemutar skru.

"Beberapa peralatan elektronik yang ditemui dalam rumah didiami suspek turut dirampas untuk siasatan.

"Semakan yang dijalankan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan baru sahaja selesai menjalani POCA di Kampar, Perak selama dua tahun," katanya.

Shafee berkata, dengan penahanan suspek membantu menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes pecah kedai dan farmasi antara September hingga awal Disember ini.

Menurutnya, suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 4:04 PM