Nur Izzati Mohamad


DUGAAN menimpa atlet petanque wanita negara apabila rumah keluarganya mengalami kerosakan teruk pada bumbung dalam kejadian ribut di Bagan Tambang, Butterworth, petang semalam.

Ketika kejadian, Siti Asiah Zaini, 21, berada di kampung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, ketika kejadian 3.30 petang, dia yang keseorangan di rumah sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan bunyi guruh dan angin kencang.

"Pada ketika itu hati rasa tak sedap apatah lagi melihat langit sangat gelap dan berdoa tolonglah bumbung jangan tercabut, namun bumbung bahagian depan rumah tercabut.

SITI Asiah Zaini, 21, mengemas dan mengambil barang-barang selepas rumahnya rosak teruk dilanda ribut di Bagan Tambang, Teluk Air Tawar. FOTO Danial Saad
SITI Asiah Zaini, 21, mengemas dan mengambil barang-barang selepas rumahnya rosak teruk dilanda ribut di Bagan Tambang, Teluk Air Tawar. FOTO Danial Saad

"Tidak lama kemudian bumbung dalam bilik dan bahagian dapur turut diterbangkan angin kencang sebelum disusuli hujan lebat lalu menyebabkan kerosakan teruk," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Katanya, dia bernasib baik tidak cedera ditimpa zink kerana menyelamatkan diri ke rumah saudaranya yang terletak berhampiran, manakala ibu serta adiknya tiada di rumah, ketika itu.

"Ibu saya sudah tiga minggu berada di hospital akibat jangkitan kuman pada kaki, manakala adik lelaki berusia 12 tahun pula berada di rumah nenek.

SITI Asiah nyaris cedera selepas bumbung bahagian hadapan rumahnya runtuh manakala bumbung dalam bilik dan bahagian dapur telah diterbangkan ribut. FOTO Danial Saad
SITI Asiah nyaris cedera selepas bumbung bahagian hadapan rumahnya runtuh manakala bumbung dalam bilik dan bahagian dapur telah diterbangkan ribut. FOTO Danial Saad

"Saya tidak dapat membayangkan jika mereka ada ketika itu kerana ribut ini amat luar biasa," katanya.

Siti Asiah berkata, kejadian ribut dan hujan lebat itu menyebabkan pelbagai barangan elektrik dan perabot rumahnya rosak.

"Saya menganggarkan kerugian sekitar RM50,000 berikutan keadaan rumah rosak amat teruk.

"Buat masa ini, saya menumpang di rumah saudara dan berharap ada pihak dapat membantu membaiki kediaman keluarga ini kerana kami memang tidak mampu apatah lagi saya sudah kematian ayah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 4:05 PM