Noorazura Abdul Rahman

TIGA beradik tidak sempat berbuka puasa bersama-sama selepas rumah mereka di Kampung Pulau Timbul, Kubang Pasu dilanda ribut menyebabkan bumbung rumah tercabut, semalam.

Mohamad Hanif Yahya, 27, berkata, dia baru pulang daripada membeli air dan kuih apabila mendengar bunyi angin kuat secara tiba-tiba pada 6 petang.

"Selalunya sebelum ribut, akan hujan renyai-renyai tapi semalam angin secara tiba-tiba dan mengangkat terus keseluruhan bumbung rumah kami.

"Kakak sulung ketika itu sedang memasak di dapur, manakala seorang lagi berada di ruang tamu dan saya masuk ke bilik selepas meletak makanan di dapur.

"Mereka berlari ke bilik saya kerana ketakutan dan kami tidak mampu buat apa-apa kerana kejadian berlaku sekelip mata. Tingkap rumah juga pecah," katanya yang ditemui, hari ini.

Anak bongsu itu berkata, mereka tidak pernah mengalami kejadian itu dan sedih kerana rumah peninggalan orang tua kini rosak teruk.

NOOR Azmi (kanan) meninjau bumbung utama kediaman Mohd Sofian yang diterbangkan ribut, semalam. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
NOOR Azmi (kanan) meninjau bumbung utama kediaman Mohd Sofian yang diterbangkan ribut, semalam. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

Katanya, mereka buntu untuk membaik pulih kerosakan itu yang dianggarkan lebih RM20,000.

"Saya dan kakak kedua hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM1,200 seorang, kakak sulung pula tidak bekerja kerana tidak sihat," katanya.

Ribut itu turut menyebabkan dua lagi rumah rosak dan sebuah lagi rumah rosak di Kampung Binjal.

Sementara itu, Penghulu Mukim Jeram Muhammad Effandi Md Arshad berkata, kerosakan di rumah Mohamad Hanif paling teruk berbanding yang lain dan pihaknya sudah melakukan bancian kerosakan untuk bantuan segera.

"Saya juga difahamkan wakil pejabat parlimen sudah membuat bancian untuk membeli barang bagi tujuan baik pulih," katanya ketika dihubungi di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 3:00 PM