Siti Rohana Idris


Kuala Krai: Meskipun sudah dua minggu berlalu, penduduk Kampung Tualang, di sini, bingung memikirkan keadaan kediaman mereka yang masih belum dapat dibaiki selepas rosak akibat ribut dan hujan batu pada Aidiladha lalu.

Dalam kejadian itu, sebanyak 13 rumah penduduk mengalami kerosakan dengan sebahagian rumah tidak berbumbung dan dinding terkopak kerana diterbangkan angin ribut.

Bagi Anas Ardi Ali Mohamed Jamil, 31, rumah pusaka yang sedia ada uzur semakin daif disebabkan kejadian yang menimpa pada malam 9 Julai lalu hingga menyebabkan sejumlah kepingan zink tercabut dan diterbangkan angin.

"Kejadian berlaku kira-kira 8 malam apabila ribut datang secara tiba-tiba dengan sangat kuat menerbangkan kepingan zink dan sebahagian dinding juga terkopak.

"Memang asal rumah ini sudah uzur kerana banyak dinding sudah dimakan anai-anai tapi selepas kejadian ribut itu, kediaman saya ini semakin teruk dan kelihatan seolah-olah rumah terbiar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Anas Ardi yang tinggal berseorangan berkata, hidupnya hanya mengharapkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dia tidak mampu untuk membaik pulih rumahnya yang sudah pasti menelan kos besar.

ANAS Ardi melihat sebahagian besar bumbung rumah pusaka yang didiaminya yang rosak akibat ribut. FOTO Siti Rohana Idris
ANAS Ardi melihat sebahagian besar bumbung rumah pusaka yang didiaminya yang rosak akibat ribut. FOTO Siti Rohana Idris

Situasi yang sama dialami Rohana Sidik, 57, yang menyebabkan beberapa keping atap zink rumahnya diterbangkan ribut dan dinding di bahagian dapurnya turut terkopak yang sehingga kini masih belum dapat dibaiki.

Rohana berkata, ribut yang terlalu kuat yang datang bersama hujan batu bukan sahaja menimpa kediamannya tapi juga menyebabkan banyak pokok sekitar hampir tumbang malah anaknya, Mohd Aidi Norizan, 32, nyaris 'hilang nyawa' kerana diterbangkan ribut ketika berada dalam rumah rakit.

"Rumah saya di tepi Sungai Lebir dan ketika kejadian anak sedang berehat dalam rumah rakit sebelum angin ribut yang datang dengan tiba-tiba menerbangkan rumah rakit itu bersamanya.

"Rumah rakit itu diterbangkan kira-kira sejauh 100 meter bersama anak yang berada di dalamnya dan dia menerima enam jahitan di telinga kirinya kerana cedera terkena besi dalam rumah rakit.

"Kami masih belum mampu menukar atap zink baharu dan kini hanya berlindung dengan kanvas sahaja yang dipasang dan jika berlaku hujan, memang akan bocor menyebabkan saya meletakkan besen untuk menadahnya," katanya.

Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menyampaikan sumbangan makanan asas dan wang zakat kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 12:09 PM