Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Sebuah keluarga di Kampung Telaga Papan, Semerak, berdepan detik ngeri apabila hampir dihempap pokok mangga berusia 70 tahun yang tumbang dalam kejadian ribut dan angin kencang, petang semalam.

Saidi Awang Teh, 55, berkata kejadian menakutkan itu berlaku pada 6.30 petang semalam selama 45 minit.

Katanya, ketika kejadian, dia dan keluarga terdengar dentuman kuat seperti sesuatu menimpa rumah sebelum disusuli serpihan atap pecah dan sisa kayu perabung yang patah akibat dibadai ribut.

"Saya dan keluarga sempat melarikan diri ke ruang dapur dan bersyukur tidak terkena pokok gergasi itu yang tumbang atau ditimpa serpihan runtuhan rumah.

"Kami laungkan azan dan menunggu ribut berhenti sebelum keluar rumah dan menyelamatkan diri," katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim, hari ini.

Hadir sama, Kadi Jajahan Pasir Puteh, Fadli Sulaiman dan Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Puteh, Wan Norhayati Wan Husain.

Kejadian ribut itu turut merosakkan 30 rumah dengan 10 daripadanya termasuk rumah Saidi rosak teruk.

ZAWAWI (kanan) menceritakan kejadian bumbung rumahnya diterbangkan ribut kepada Wan Hassan (kiri). FOTO ihsan pembaca.
ZAWAWI (kanan) menceritakan kejadian bumbung rumahnya diterbangkan ribut kepada Wan Hassan (kiri). FOTO ihsan pembaca.

Penduduk, Zawawi Ariffin, 50, berkata bumbung rumahnya hilang semuanya akibat dibadai ribut dan ia pengalaman paling menakutkan sejak tinggal di situ.

Katanya, sebelum ini, keluarganya sudah dua kali dilanda ribut, namun hanya beberapa keping bumbung diterbangkan angin.

"Ini kejadian ketiga rumah kami rosak dilanda ribut dan dalam sekelip mata rumah kami berbumbungkan langit.

"Dalam keadaan basah kuyup, saya bersama isteri dan dua anak berlari ke rumah ibu bapa kami kira-kira 15 meter dari rumah," katanya

Zawawi berkata, selain kerosakan kediaman, penduduk turut berdepan kerugian lain termasuk peralatan elektronik rosak ditimpa hujan.

Sementara itu, Wan Hassan berkata, setakat ini anggaran kerugian ditanggung penduduk mencecah RM100,000 dan pihaknya bersama JKM hadir memberi bantuan kecemasan segera.

Katanya, bancian lanjut akan dijalankan di bawah Penghulu Mukim dan pihak JKM.

"Kita zahirkan rasa dukacita atas kejadian bencana alam ini dan berharap penduduk bersabar atas ujian ini.

"Kita bersyukur kerana tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 7:35 PM