BERNAMA

Pasir Puteh: Lebih 40 rumah mengalami kerosakan dengan kebanyakan bumbung zink rumah berkenaan diterbangkan angin dalam kejadian hujan lebat berserta ribut, di enam perkampungan dekat sini, semalam.

Cuaca buruk yang melanda Kampung Nara, Kampung Hutan Jering, Pangkalan, Alor Pasir, Sungai Rasau dan Bukit Gedombak pada 6 petang itu, berlaku dalam tempoh kira-kira lima minit.

Seorang penduduk di Kampung Nara, Siti Mariam Zakaria, 39, berkata, ketika kejadian, keempat-empat anaknya, Nor Sazma Erniy Mohd Asri, 19; Mohd Saiful Syamir, 18; Mohd Saful Ikhwan, 16, dan Mohd Afif, 12, terperangkap di dalam rumah.

"Sebelum kejadian saya ke kedai berdekatan untuk membeli barang bagi membuat kuih dan bergegas pulang sebaik menerima panggilan telefon daripada salah seorang anak yang meminta pulang segera kerana atap rumah diterbangkan angin," kata ibu tunggal itu ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, Siti Mariam berkata, sebaik pulang beliau mendapati kesemua anaknya menggigil ketakutan dan berlindung di sebelah almari yang dipenuhi kitab suci al-Quran.

"Sementara, bilik tidur dan ruang dapur bergenang air akibat ribut dan kesemua barangan elektrik rosak. Kerugian dianggarkan melebihi RM10,000 termasuk garaj kereta di depan rumah turut ranap," katanya.

Penduduk kampung membaiki atap yang diterbangkan ribut dalam kejadian berlaku lewat petang semalam di Kampung Nara, hari ini. FOTO BERNAMA
Penduduk kampung membaiki atap yang diterbangkan ribut dalam kejadian berlaku lewat petang semalam di Kampung Nara, hari ini. FOTO BERNAMA

Seorang lagi mangsa, Siti Minah Mamat, 65, dari Kampung Hutan Jering berkata, dia bernasib baik kerana sempat melarikan diri ke rumah anaknya yang tinggal berdekatan ketika kejadian yang memusnahkan bumbung bahagian ruang tamu rumahnya.

Menurutnya, dia bersyukur anak bongsunya, Mohd Izat Hamzah, 20, yang ketika itu berada di ruang tamu turut selamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Limbongan Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah ketika dihubungi berkata, beliau akan mengemukakan senarai mangsa kepada pihak kerajaan negeri bagi bantuan membaik pulih rumah yang rosak.

Beliau berkata, bantuan segera sudah disampaikan kepada penduduk yang terjejas bagi meringankan beban mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 2:56 PM