Dziyaul Afnan Abdul Rahman


EMPAT keluarga di Kampung Baru Long Boh, Jalan Kepala 30, Tambun Tulang, di Arau kerugian hampir RM100,000 selepas rumah mereka dibadai ribut, semalam.

Mangsa, Mahadzir Hasan, 38, berkata, dalam kejadian yang berlaku pada 6 petang itu, dia bersama keluarganya berada di ruang tamu sebelum bumbung rumahnya diterbangkan angin.

“Ketika itu saya sedang menonton televisyen, manakala isteri sedang mendodoi anak di bahagian utama rumah.

“Mulanya hanya hujan lebat, dan tiba-tiba diiringi angin kencang sehingga keadaan bumbung rumah bergegar.

“Tak lama selepas itu, bumbung rumah kami terbang dibawa angin,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

MAHADZIR Hasan menunjukkan bumbung rumahnya yang dibadai ribut  di Kampung Baru Long Boh, Jalan Kepala 30. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
MAHADZIR Hasan menunjukkan bumbung rumahnya yang dibadai ribut di Kampung Baru Long Boh, Jalan Kepala 30. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Mahadzir berkata, mereka sekeluarga yang ketakutan berlindung di penjuru rumah dan berpelukan sesama mereka sehingga ribut reda selepas setengah jam.

Perkara yang sama turut dikongsikan Siti Hanum Yaakob, 32 selepas barangan perabot di rumahnya rosak teruk akibat terkena hujan.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah emak yang jauhnya hanya 200 meter sahaja dari rumah kami.

“Tiba-tiba penduduk kampung datang ke rumah emak dan maklumkan bumbung rumah kami hilang kerana dibawa ribut,” kata.

Siti Hanum berkata, anggaran kerugian akibat ribut yang membadai rumahnya bernilai hampir RM20,000.

“Kami berharap ada pihak sudi membantu memandangkan kami hanya bekerja sebagai petani dan menerima wang hasil tanaman padi yang tidak seberapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 3:37 PM