GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


PESTA Belon Udara Panas Borneo 2020 yang julung kali diadakan di Kuching pada 11 hingga 12 April depan ditangguhkan berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Pengurus Nex Vision Sdn Bhd selaku penganjur, Audrey Dominic Neng berkata, keputusan menangguhkan pesta berkenaan selaras dengan arahan kerajaan Sarawak supaya semua acara membabitkan 50 peserta ditangguhkan.

“Pesta berkenaan yang dijadual diadakan Dataran Perayaan, Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching ditangguhkan sehingga notis selanjutnya.

“Penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan memaksa kami membuat keputusan ini demi kesejahteraan dan keselamatan kesihatan orang ramai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 11 Mac lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengumumkan penganjuran pesta berkenaan.

Mengikut rancangan asal, enam belon udara panas bersaiz besar akan digunakan dengan tiga daripadanya dipamerkan manakala tiga lagi diterbangkan untuk dinaiki pengunjung dengan bayaran RM50 setiap penumpang.

Hasil jualan tiket menaiki belon panas itu akan disalurkan kepada badan-badan amal yang dipilih pihak penganjur.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 4:48 PM