ANTARA belon panas yang diperkenalkan penganjur. FOTO Mikail Ong
ANTARA belon panas yang diperkenalkan penganjur. FOTO Mikail Ong
Siti Sofia Md Nasir


LEBIH 50,000 pengunjung menghadiri Majlis Perasmian Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2019 yang diadakan di Padang Polo, Georgetown, malam ini.

Pesta yang memasuki edisi kelima penganjurannya itu mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai, walaupun tiada belon udara panas diterbangkan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang sentiasa menganjurkan pelbagai acara berteraskan keluarga yang boleh disertai semua peringkat umur.

“Kita mahu rakyat sentiasa meluangkan masa bersama keluarga, sebab itu kita mengadakan lebih banyak acara yang boleh mengeratkan silaturahim.

“Tahniah kepada rakan penganjur iaitu AKA Balloon Sdn Bhd kerana berjaya menganjurkan acara hebat yang memasuki tahun kelima ini,” katanya.

ORANG ramai menyaksikan pertunjukan bunga api sempena perasmian Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
ORANG ramai menyaksikan pertunjukan bunga api sempena perasmian Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam

Majlis perasmian pesta yang dianjurkan selama tiga hari itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloon, Izzati Khairudin berkata, tahun ini pihaknya membawa kelainan dengan memaparkan tema ‘Gnome’ iaitu patung eropah comel sebagai karakter utama.

Katanya, 15 belon udara panas dari pelbagai negara mengambil bahagian pada pesta kali ini, dengan wakil negara Slovakia membuat kemunculan sulung di Malaysia.

“Kita hanya terbangkan belon udara panas pada masa-masa tertentu sahaja kerana ia tidak boleh sentiasa terdedah dengan iklim panas.

“Esok adalah peluang terakhir kepada orang ramai yang ingin merasai pengalaman menaiki belon udara panas,” katanya.

INFO:

-Waktu belon udara panas terbang:

7.30 pagi sehingga 10 pagi

6 petang sehingga 7.30 petang

-Tiket RM50 untuk semua peringkat umur (6 tahun - warga emas)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 11:43 PM