Zuhainy Zulkiffli


BUKAN sahaja dapat melihat keindahan belon udara panas, 50 orang awam tidak ketinggalan menyertai aktiviti zumba ketika berkunjung ke Padang Kota Lama, Georgetown, hari ini.

Aktiviti disertai pelbagai lapisan masyarakat dan usia itu diadakan sempena promosi Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2018 yang bakal berlangsung selama dua hari pada 24 dan 25 Februari di Padang Polo, dekat sini.

Pengendali zumba Melissa Lian berkata, dua hari lalu, dia dihubungi pihak penganjur bagi melakukan aktiviti berkenaan selama dua jam iaitu bermula pada 7 hingga 9 pagi.

Katanya, dia sempat memberitahu beberapa kenalan supaya hadir bagi memeriahkan acara itu kerana bimbang tiada sambutan dan hanya 10 kenalan mengesahkan kehadiran.

"Pada mulanya mereka mendekati belon udara untuk bergambar, kemudian terus menyertai zumba dan melihatkan sambutannya yang menggalakkan, saya lebih bersemangat.

"Dalam masa setengah jam kemudian makin ramai pengunjung menyertai kami, mungkin mereka teruja dapat berzumba dengan berlatarkan belon udara panas yang indah dan berwarna-warni," katanya.

ORANG ramai berzumba bersama belon udara panas di Padang Kota, hari ini menjelang penganjuran Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2018 di Padang Polo pada 24 dan 25 Februari ini. FOTO Zuhainy Zulkifli
ORANG ramai berzumba bersama belon udara panas di Padang Kota, hari ini menjelang penganjuran Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2018 di Padang Polo pada 24 dan 25 Februari ini. FOTO Zuhainy Zulkifli

Belon udara panas berkenaan dipasangkan khas selama dua jam dan orang ramai berpeluang menyaksikan petugas memasang serta menyimpan alatan belon berkenaan.

Dijangka seramai 100,000 pengunjung ke fiesta berkenaan bagi menyaksikan keindahan dan keunikan 16 belon udara panas itu.

Acara dianjurkan Penang Global Tourism itu akan menampilkan pelbagai jenis karakter belon termasuk tujuh daripadanya tidak pernah datang ke Malaysia.

Antaranya ialah Owlbert Eyenstein, Pirate Parrot, watak filem Star Wars, Yoda, Busby, Fire Engine dan Little Dog sempena Tahun Baru Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 8:17 PM